Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
SELANGOR, 23 OGOS 2026 : Pahang membuktikan keunggulannya dalam arena hoki apabila berjaya merangkul dua pingat emas bagi acara lelaki dan wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2026, sekali gus muncul jaguh hoki pada temasya kali ini.
Selepas skuad wanita Pahang terlebih dahulu menghadiahkan emas, pasukan lelaki turut melengkapkan kejayaan berganda itu apabila menewaskan Pulau Pinang menerusi penentuan penalti shoot-out secara sudden death dalam aksi final di Padang Hoki Pandamaran, hari ini.
Dalam perlawanan sengit itu, Pahang membuka tirai jaringan pada suku masa pertama sebelum Pulau Pinang bangkit menyamakan kedudukan pada suku masa kedua.

Kedudukan kekal seimbang sehingga tamat permainan, memaksa perlawanan ditentukan menerusi penentuan penalti shoot out sudden death.
Pahang akhirnya muncul juara selepas berjaya menamatkan penentuan shoot out sudden death dengan kemenangan, sekali gus memastikan pingat emas menjadi milik kontinjen negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata kejayaan merangkul emas bagi kedua-dua kategori membuktikan pembangunan sukan hoki di negeri itu berada pada tahap yang membanggakan.
“Syukur alhamdulillah, hari ini baru saja selesai hoki, di mana Pahang jaguh negara apabila berganda menang pingat emas lelaki dan wanita, satu pencapaian yang cukup membanggakan.
“Bermakna pembangunan sukan hoki di Pahang cukup baik, hingga membolehkan kita menang emas bagi kedua-dua kategori, lelaki dan wanita,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Beliau berkata kejayaan berkenaan bukan mudah dicapai memandangkan beberapa pasukan negeri lain turut menunjukkan peningkatan prestasi yang ketara dalam sukan hoki.
“Ya, bukan mudah. Kita tengok untuk menempah tiket ke final itu sendiri, cabarannya cukup hebat. Banyak pasukan hoki negeri lain yang meningkat naik prestasi mereka.
“Tetapi dalam keadaan itu, Pahang boleh menempah slot ke ‘final’. Bukan sahaja menempah slot, tapi menang pingat emas bagi kedua-dua acara ‘final’ ini,” ujarnya.
Perlawanan akhir pasukan lelaki itu turut disaksikan Ketua Kontinjen Pahang, YB Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin dan Pengarah Majlis Sukan Pahang, Encik Mahadir Abdul Raffar. -PAHANGMEDIA

