Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang akan memanfaatkan peruntukan RM2.1 juta daripada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) dalam usaha menjadikan kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini menerima pengiktirafan bandar pintar menjelang tahun hadapan.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada keseluruhan 11 PBT di Pahang, lapan telah berjaya menerima pengiktirafan berkenaan, manakala tiga lagi PBT akan diberi tumpuan untuk mencapai pengiktirafan sama pada 2027.
“Kita akan percepatkan usaha ini dan insyaAllah tahun depan kita harap tiga lagi PBT berkenaan dapat mencapai pengiktirafan tersebut.
“Terima kasih di atas peruntukan RM2.1 juta yang diberikan oleh pihak PLANMalaysia kepada negeri Pahang dan kita akan gunakan peruntukan tersebut dengan sebaik mungkin,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pahang Smart City 2026 dan melancarkan Blueprint Smart City Negeri Pahang 2040 di Dewan Kompleks Bandaraya, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; barisan Ahli Majlis Mesyuarat, ketua jabatan dan pimpinan setempat.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut menghargai komitmen semua Yang Dipertua (YDP) PBT serta pegawai dan kakitangan yang bekerja keras memastikan agenda pembangunan bandar pintar dan mampan di negeri ini dapat direalisasikan.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada PBT yang berjaya serta merakamkan penghargaan kepada PLANMalaysia, khususnya Pengarah PLANMalaysia Pahang, YH. Dato’ TPr Nik Noraisu Nik Ibrahim, dan pihak ibu pejabat melalui YBhg. Datuk TPr Dr. Alias Rameli yang bersungguh-sungguh membantu Negeri Pahang.
“Kepada YDP (Yang Dipertua Majlis Daerah) semua saya ucapkan terima kasih di atas komitmen mereka termasuklah pegawai dan kakitangannya dan Pahang insyaAllah akan terus melangkah, mengorak langkah untuk lebih maju ke hadapan di masa-masa yang akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu, sebanyak lapan PBT menerima Anugerah Bandar Paling Mampan 2026 iaitu Majlis Perbandaran Bentong, Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja, Majlis Perbandaran Temerloh, Majlis Daerah Bera, Majlis Daerah Jerantut, Majlis Daerah Lipis, Majlis Daerah Raub dan Majlis Daerah Rompin.
Selain itu, Majlis Daerah Bera, Majlis Daerah Jerantut, Majlis Daerah Raub dan Majlis Daerah Rompin pula menerima pengiktirafan Smart City Early Adopter 2026.
Sementara itu, Blueprint Smart City Negeri Pahang 2040 menjadi panduan Kerajaan Negeri dalam merancang dan melaksanakan agenda bandar pintar serta bandar rendah karbon sehingga 2040 menerusi 69 inisiatif yang digariskan.
Dokumen berkenaan turut menjadi rujukan kepada PBT, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam menangani pelbagai cabaran perbandaran, selaras dengan hasrat Malaysia untuk menjadi sebuah Negara Pintar (Smart Nation).-PAHANGMEDIA

