Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
BERA, 22 OGOS 2026 : Sambutan Hari Bapa Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung hari ini mendapat sambutan menggalakkan apabila mencatatkan kehadiran mencecah kira-kira 1,000 orang iaitu sekali ganda daripada sasaran awal seramai 500 peserta.
Program bertemakan Sehebat Kasih Bapa ini dianjurkan bersama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Kerajaan Negeri Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah Bera, Tourism Pahang dan Majlis Kebudayaan Negeri (MKN).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, penganjuran program berkenaan memberi fokus kepada golongan bapa menerusi aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Sukan rakyat ini bertujuan mengeratkan hubungan kasih sayang dalam keluarga, khususnya antara anak dan bapa. Alhamdulillah, objektif program telah tercapai dan kehadiran juga amat memberangsangkan apabila mencecah 1,000 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Sambutan Hari Bapa Dan
Pesta Mengemping Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur 2026 di Dataran Padi, Kuala Bera hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bera, YB. Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob wakil rasmi YAB. Menteri Besar Pahang; Pengarah LPPKN Negeri Pahang, Puan Nurfarhana Lee Zulkiflee Lee; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang, Encik Khairul Amri Ahmad; dan Pegawai Daerah Bera, YH. Dato’ Ahmad Nasim Dato’ Haji Mohd Sidek.
Beliau berkata, usaha memperkasakan peranan bapa juga merupakan perkara penting dalam mendepani isu keruntuhan rumah tangga yang berlaku ketika ini.
“Peranan semua pihak termasuk para bapa amat penting dan perlu diambil kira dalam usaha memperkukuh institusi keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran sambutan seumpama itu akan diteruskan di lokasi berbeza bagi memastikan mesej pengukuhan institusi keluarga dapat disampaikan kepada masyarakat di seluruh negeri ini.
“Sambutan Hari Bapa tahun lalu diadakan di Lipis, manakala Sambutan Hari Ibu baru-baru ini berlangsung di Kuantan.
“Lokasi untuk Sambutan Hari Bapa tahun depan belum dipastikan, namun kita berharap program seperti ini terus mengeratkan hubungan kasih sayang bukan sahaja antara bapa dan anak, malah sesama anggota keluarga secara keseluruhannya,” katanya.
Pelbagai aktiviti disediakan termasuk sukan rakyat dan tradisional serta cabutan bertuah yang turut mendapat sumbangan daripada Ahli Parlimen Bera, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Pejabat Daerah dan ADUN Guai. -PAHANGMEDIA

