Oleh : Ain Nadhirah Basha
TEMERLOH, 21 NOVEMBER 2026 : Rakyat Pahang menyambut baik pembentangan Belanjawan Pahang 2027 yang disifatkan mampu meringankan beban, meningkatkan motivasi serta membuka lebih banyak peluang kepada golongan sasar.
Bagi peniaga, Encik Mohammad Fiddauddin Soiful Bahri, 35, menyifatkan inisiatif bantuan kepada usahawan sebagai peluang penting untuknya mengembangkan perniagaan.
Katanya, bantuan berkenaan amat dinantikan kerana bukan semua peniaga kecil mempunyai kemampuan kewangan untuk membuka premis perniagaan atau mengembangkan operasi sendiri.

“Sangat sangat teruja, sangat gembira, sangat menunggulah. Kira kami semua menunggu. Usahawan ni kita orang ni memerlukan benda-benda begitu sebab tak semua usahawan ni mampu nak buka kedai.
“Bila ada bantuan ni ramai akan nak cuba. Bila dah cuba, macam saya pun nak kena tahu juga selok-belok jalan ini macam mana. Bila usahawan ni, kita nak kena betul-betul ada yang support. Jadi bila ada open (inisiatif buat usahwan) macam ni, kita lagi nak, ramai sangat nak.
Encik Mohammad Fiddauddin yang menjalankan perniagaan kopi sangkut dan tauhu rangup turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar dan Kerajaan Negeri atas keprihatinan membantu usahawan kecil yang memerlukan sokongan untuk terus bertahan dan maju dalam perniagaan.
“Terima kasih banyak pada Kerajaan Negeri, pada MB (Menteri Besar) kita, pada seluruh yang menjayakan program ini, yang memberi bantuan ini dan bantu kami sebagai usahawan kecil-kecilan,” katanya.

Sementara itu, bagi atlet olahraga Pahang, Encik Mohd Ashaari Mohd Jaafar, 38, berkata peruntukan dan pelbagai inisiatif untuk pembangunan sukan serta kebajikan atlet mampu meningkatkan semangat mereka untuk terus mengharumkan nama negeri.
“Belanjawan untuk Pahang 2027, saya sangat berpuas hati dengan bajet yang diberikan, ia dapat meningkatkan lagi semangat atlet Negeri Pahang untuk terus maju ke hadapan lagi.
“Macam saya sendiri sebagai atlet Pahang rasa sangat berbangga menjadi atlet negeri Pahang. Banyak inisiatif yang diberikan kepada atlet-atlet Pahang. Jadi kami akan buat lebih baik lagi untuk Negeri Pahang sebab Pahang adalah satu negeri yang menjaga kebajikan atlet. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang di atas pemberian insentif untuk tahun ni,” katanya.

Bagi Encik Mohamad Nor Faiz Bahsarudin, 35, dari Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Temerloh, peningkatan peruntukan serta pemberian bantuan khas kepada penjawat awam disambut dengan kesyukuran.
Encik Mohamad Nor Faiz turut menyambut baik peningkatan bantuan kepada golongan siswa yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarganya dalam membantu adiknya yang kini melanjutkan pengajian tahun kedua di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan sedikit beban untuk adik saya menyambung pengajian.
“Terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas pengumuman Belanjawan 2027. Semoga Pahang terus maju jaya,” katanya.
Kerajaan Negeri Pahang semalam mengumumkan enam teras utama bernilai RM454.4 juta bagi perbelanjaan pembangunan untuk membiayai pelbagai projek dan program yang telah dirancang yang memfokuskan kebajikan semua golongan di negeri ini agar lebih sejahtera dan makmur. -PAHANGMEDIA

