Oleh : Ain Nadhirah Basha
TEMERLOH, 22 NOVEMBER 2026 : Karnival Usahawan Pahang 1st yang diadakan bersempena Karnival Aspirasi Pahang 1st 2026 Peringkat Daerah Temerloh menjadi platform kepada usahawan tempatan memperkenalkan produk, meluaskan pasaran serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, penganjuran karnival itu memberi peluang kepada usahawan mempamerkan hasil keluaran masing-masing secara langsung kepada pengunjung.

Menurutnya, inisiatif berkenaan bukan sahaja membantu meningkatkan keterlihatan produk tempatan, malah membuka peluang kepada orang ramai untuk mengenali dan membeli produk yang ditawarkan.
“Apa lebih bermakna kerana karnival kali ini ditambahkan dengan Karnival Usahawan. Jadi bila ada Karnival Usahawan ini juga, dapat memberi ruang kepada usahawan-usahawan bagi mempamerkan produk-produk yang telah mereka keluarkan.
“Untuk mungkin orang ramai tengok ataupun membelinya, mengambilnya, dan ini sedikit sebanyak merancakkan lagi pergerakan ekonomi masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir sebagai wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang pada Karnival Aspirasi Pahang 1st 2026 Peringkat Daerah Temerloh di Dataran Temerloh, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan dan Pegawai Daerah Temerloh, YH Dato’ Khairur Rizal Ramli.

Mengulas mengenai sambutan pengunjung, beliau berkata penyertaan usahawan menerusi pembukaan reruai pameran dan jualan memperlihatkan penerimaan positif terhadap penganjuran karnival berkenaan.
Temerloh merupakan daerah kelapan daripada 11 daerah di Pahang yang menjadi lokasi penganjuran Karnival Aspirasi Pahang 1st tahun ini.
Karnival selama tiga hari itu turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk Kenduri Rakyat, Sukan Rakyat, senam sihat, ceramah perdana, forum bicara tanah, pertandingan karaoke, persembahan buskers dan Konsert Aspirasi Gegor Temerloh. -PAHANGMEDIA

