Oleh : Syafiqah Jamaluddin
SELANGOR, 22 OGOS 2026 : Pahang terus mencuri tumpuan dalam sukan e-sukan Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 apabila Hazil Hakimi Abdullah, 18, muncul juara acara e-Football Mobile, sekali gus menghadiahkan pingat emas buat kontinjen negeri.
Kejayaan anak kelahiran Kuantan itu cukup bermakna selepas segala usaha dan perjuangan sepanjang persiapan akhirnya membuahkan hasil.
Hazil berkata, perasaan gembira bercampur sebak selepas berjaya merealisasikan sasaran untuk menaiki podium tertinggi dalam penampilan sulungnya di pentas SUKMA.
“Perasaan saya amat gembira dan ada juga rasa sedih kerana perjuangan saya selama ini akhirnya tercapai.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan, pasukan Pahang dan semua yang sentiasa menyokong serta memberi semangat kepada saya,” katanya.
Mengulas mengenai perlawanan akhir, beliau mengakui saingan berlangsung sengit apabila berdepan pemain yang juga merupakan rakannya sendiri.
Katanya, beliau memilih untuk kekal tenang dan mengekalkan momentum sepanjang perlawanan bagi mengelakkan sebarang kesilapan yang boleh mengubah keputusan.
“Perlawanan final tadi amat sengit kerana saya berjumpa dengan lawan yang juga kawan saya.
“Saya kekalkan momentum yang sama seperti perlawanan sebelum ini, bermain dengan tenang dan cuba tidak membuat sebarang kesilapan dalam permainan,” katanya.

Lebih membanggakan, Hazil turut menyimpan impian lebih besar selepas ini dengan memasang hasrat untuk mewakili Malaysia serta mencipta pencapaian lebih tinggi dalam arena e-sukan.
Sementara itu, jurulatih e-sukan Pahang, Muhammad Azruddin Yaacob berkata, kejayaan Hazil membuktikan segala usaha dan latihan yang dilakukan sejak awal persiapan akhirnya membuahkan hasil.
Katanya, persiapan khusus pasukan untuk menghadapi SUKMA bermula sejak Februari lalu, selain beliau sudah lama melihat potensi dan konsistensi Hazil dalam permainan e-sukan.
“Alhamdulillah, sepanjang latihan pemain sudah buat yang terbaik dan mengikut arahan yang kita minta.
“Saya sangat terharu sebab pemain buat yang terbaik untuk diri sendiri dan semua. Saya memang sudah nampak konsistensi dia dalam permainan e-sukan dan sebab itu saya sedaya upaya untuk menarik dia menyertai pasukan Pahang,” katanya.
Beliau berkata, Hazil berpotensi untuk terus menjadi antara sandaran Pahang pada kejohanan akan datang berdasarkan prestasi konsisten yang ditunjukkannya.
“Insya-Allah, mungkin pemain ini akan dikekalkan untuk SUKMA akan datang. Kalau saya diberikan peluang untuk menjadi jurulatih lagi, saya akan kekalkan dia,” katanya.
Kejayaan Hazil turut menyuntik semangat buat kem e-sukan Pahang yang sebelum ini menamatkan penantian dua edisi tanpa pingat apabila meraih gangsa menerusi acara Honor of Kings (HOK) pada SUKMA kali ini.
Dengan tambahan emas e-Football Mobile itu, skuad e-sukan Pahang kini terus mengintai peluang untuk menambah koleksi pingat dalam baki saingan SUKMA XXII Selangor 2026. -PAHANGMEDIA

