Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Azian Ali | Media MSP
SELANGOR, 20 OGOS 2026 : Penampilan pertama di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) XII membuahkan hasil manis buat atlet pencak silat Pahang, Nurul Khairina Ahmad Shahrizal yang juga merupakan anak kelahiran Felda Chini Timur 1, Pekan.
Nurul Khairina berjaya meraih pingat emas dalam acara Silat Tanding Kategori C Puteri (55 hingga 60 kilogram).

Atlet berusia 18 tahun itu menewaskan wakil Perak pada aksi final yang berlangsung di Dewan Sri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Bangi, di sini semalam.
Nurul Khairina dinobatkan sebagai juara selepas lawannya dikenakan diskualifikasi, dengan Pahang mendahului 32-13.
Menurutnya, kejayaan tersebut amat bermakna kerana ia merupakan penampilan sulungnya di temasya SUKMA.

“Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur dan gembira sebab dapat menyumbangkan pingat emas untuk Pahang, lebih-lebih lagi ini merupakan kali pertama saya menyertai SUKMA.
“Saya juga sangat berterima kasih kepada jurulatih, keluarga dan semua yang sentiasa memberi sokongan kepada saya sepanjang menjalani latihan,” katanya.

Kejayaan itu turut menyerlahkan potensi besar Nurul Khairina yang masih muda dan mempunyai peluang cerah untuk terus mengharumkan nama Pahang pada temasya serta kejohanan akan datang.
“Kemenangan ini memang satu pengalaman yang sangat bermakna untuk saya. InshaAllah, di masa akan datang, saya akan cuba lebih baik untuk membanggakan Pahang lagi,” ujarnya.
Kemenangan tersebut sekali gus menyumbang pingat emas buat Kontinjen Pahang dalam usaha meneruskan perjuangan memburu kejayaan di SUKMA XXI.-PAHANGMEDIA

