Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
BERA, 20 OGOS 2026 : Pahang menjadi negeri perintis bagi pelaksanaan Projek Bukti Konsep (POC) penghantaran sampel darah di antara hospital menggunakan dron yang merupakan pertama seumpamanya di Asia Tenggara.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, kajian oleh Alpha Swift Industries Sdn. Bhd. dapat menjimatkan masa perjalanan serta berpotensi memastikan penghantaran terus berjalan ketika berlaku bencana.

Beliau berkata kejayaan pelaksanaan kajian POC ini dilihat turut membuka potensi baharu dalam memperkasa sistem logistik perubatan negara di mana ia membuktikan teknologi dan pematuhan regulasi mampu digabungkan bagi mewujudkan sistem penghantaran perubatan yang lebih pantas, fleksibel dan berdaya tahan.
“Hari ini telah diraikan satu kejayaan pelaksanaan Proof of Concept (POC) bagi projek penghantaran sampel darah melalui dron daripada Hospital Bera ke HoSHAS (Hospital Sultan Haji Ahmad Shah) di Temerloh.
“Ia (dapat jimatkan masa) daripada ujian yang dibuat itu lebih kurang kira 20 minit dengan jarak lebih kurang 20 kilometer. Kalau ada banjir ke, traffic jam ke yang berlaku, dron masih boleh terbang. So, itu yang bonus dia.

“Dalam konteks ini, teknologi seperti dron mempunyai potensi yang menarik untuk diterokai. Dalam keadaan dan aplikasi yang bersesuaian, teknologi sebegini berpotensi membantu mempercepatkan pergerakan barangan atau bekalan perubatan, khususnya apabila faktor masa dan akses menjadi pertimbangan penting,” katanya.
Menurut beliau, walau bagaimanapun pelaksanaan penghantaran sampel darah ini masih belum dilaksanakan secara rasmi dan akan memasuki fasa kedua yang melibatkan penelitian lanjut bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sebenarnya dia melalui beberapa fasa. Kalau kita tengok tadi dia bermula 11 Disember 2025 kita buat dulu drop test. Kemudian pada 22 Januari 2026, kita buat penerbangan dron. Dan pada 11 Februari 2026 kita buat medical drone crash response. Maknanya ada dua fasalah yang telah dibuat sepanjang tempoh tersebut.

“Ini telah menjalani ujian apa semua dan benda ini dikira satu kejayaan tapi untuk pelaksanaan, itu nanti masuk fasa kedua. Fasa kedua nanti tengok dengan Kementerian.
“Kena buat kena ada proses lanjutlah dengan pihak Kementerian. Pihak Kementerian kena tengok, menilai, mestilah dari segi peruntukan dan sebagainya, banyak benda. Tapi benda ini boleh dilaksanakan. Kalau Kementerian nak laksanakan, boleh bila-bila masa boleh guna, maknanya kalau dah ada peruntukan, lulus peringkat Kementerian,” katanya.
Beliau berkata Hospital Bera dipilih sebagai projek rintis inisiatif perubatan ini memandangkan ia salah satu daripada tujuh Pusat Hub Teknologi dan akan diteruskan pelaksanaannya di Tawau, Sabah.

Tambah beliau, projek ini turut mendapat kelulusan keperluan regulasi ketat melibatkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), serta kelulusan KKM bagi pengendalian bahan biologi.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Pahang turut menyokong usaha berkenaan yang dilihat berpotensi menambah baik perkhidmatan kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan lokasi yang berdepan cabaran akses.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pengiktirafan Pencapaian Projek Penghantaran Dron Perubatan Hospital Bera, di Hospital Bera hari ini. -PAHANGMEDIA

