Oleh : Syafiqah Jamaluddin
SELANGOR, 20 OGOS 2026 : Atlet memanah Pahang, Muhammad Haiqal Danish Syamsul Affandi, tampil cemerlang apabila memecahkan rekod SUKMA dalam acara Recurve Lelaki sekali gus menghadiahkan pingat emas kepada Kontinjen Pahang pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.
Haiqal Danish mengumpul 674 mata untuk memperbaharui rekod terdahulu 656 mata yang dicatatkan pada SUKMA Sarawak 2024, sekali gus memperbaiki rekod berkenaan sebanyak 18 mata.
Atlet berusia 21 tahun itu berkata, kejayaan tersebut sememangnya menjadi antara sasaran utamanya selepas mahu memperbaiki pencapaian pada edisi SUKMA sebelum ini.
“Saya sangat gembira sebab memang target saya untuk first day itu. Saya cuba nak jauhkan diri daripada opponent lain dan Alhamdulillah menjadi.
“Dalam masa yang sama, saya cuba juga nak beat rekod untuk SUKMA 2024. Saya cuba nak buat lebih jauh daripada SUKMA lepas,” katanya.
Menurutnya, beliau sendiri tidak menyangka mampu memecahkan rekod berkenaan pada awal saingan kerana hanya mahu mendapatkan rentak sebelum melihat kedudukannya berada di tempat pertama.
“Saya pun sebenarnya tak sangka boleh pecah rekod itu. Awal-awal tembak saya tak expect benda itu boleh pecah rekod.

“Tapi bila saya tengok ranking itu, saya first. Jadi saya cuba untuk buat lebih baik untuk ke next,” katanya.
Bagaimanapun, kedudukan di tangga teratas turut memberikan tekanan apabila pencabar lain mula mengejar, selain faktor cuaca yang berubah-ubah sepanjang pertandingan.
Haiqal Danish berkata, beliau memilih untuk mengawal emosi dan mendapatkan sokongan daripada jurulatih serta rakan sepasukan bagi memastikan fokusnya kekal sehingga tamat saingan.
“Bila kita kat atas, opponent lain akan kejar kita. Jadi saya cuba kawal emosi.
“Tempat itu ada hujan, panas, kadang-kadang mendung dan ada angin. Saya cuba berbual dengan coach dan team untuk hilangkan takut dalam masa yang sama,” katanya.
Kejayaan itu menjadi suntikan semangat buat Haiqal Danish yang selepas ini bakal mengalihkan fokus kepada cabaran antarabangsa di Asian Games di Nagoya, Jepun, September ini.
Katanya, pengalaman beraksi di SUKMA kali ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin, khususnya dalam aspek ketenangan ketika melakukan panahan.
“Untuk persediaan Nagoya nanti, saya nak shoot dengan tenang,” katanya. -PAHANGMEDIA

