Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Zeti Akhtar Lokman
KUANTAN, 18 OGOS 2026 : Program Inspirasi Siswa Amal dan Nilai (INSAN) 2026 disifatkan sebagai platform strategik untuk membuka laluan baharu kepada mahasiswa daripada keluarga B40 dan asnaf mengubah taraf ekonomi keluarga menerusi bidang keusahawanan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata program tersebut merupakan inisiatif bersama institusi pengajian tinggi (IPT) Pahang dan rakan strategik bagi memberi pendedahan dalam menceburi dalam bidang keusahawanan.
“INSAN ini ialah inisiatif daripada pihak IPT dan juga bersama rakan-rakan strategik untuk melahirkan dan menampilkan golongan-golongan yang bukan tercicir, tapi malah golongan ini perlu kita tingkatkan pendapatan mereka kerana mereka datang daripada keluarga yang tidak berkemampuan.
“Jadi kita nak mereka ubah kehidupan keluarga mereka untuk menceburi bidang keusahawanan yang merupakan salah satu bidang yang boleh memberi peluang yang lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Program Inspirasi Siswa Amal dan Nilai (INSAN) 2026 di Kampus UCYP University, hari ini.
Menurut beliau, program berkenaan turut menjadi platform untuk membudayakan bidang keusahawanan dalam kalangan mahasiswa sebagai salah satu pilihan kerjaya selain pekerjaan konvensional.
“Kita nak membudayakan mereka ni sebagai salah satu keusahawanan ini sebagai satu agenda yang terbaik selain daripada pekerjaan.
“Usahawan adalah salah satu pilihan yang tepat sekiranya mereka mahu peluang secara terus dan kita yakin bahawa program ini adalah salah satu menyumbang kepada mereka antaranya golongan sasar yang kita jangkakan akan mengubah kehidupan mereka melalui keusahawanan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengharapkan program tersebut diperluaskan ke institusi pengajian tinggi lain bagi memastikan lebih ramai mahasiswa daripada golongan sasaran mendapat peluang sama.
Seramai 300 mahasiswa daripada golongan B40 dan asnaf melibatkan sembilan institusi pengajian tinggi (IPT) di daerah Kuantan menyertai Program Aspirasi Siswa Amal dan Nilai (INSAN) 2026. -PAHANGMEDIA

