Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
SELANGOR, 18 OGOS 2026 : Kontinjen Pahang terus mencuri tumpuan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor XXII 2026 apabila skuad menembak menyumbang tiga lagi pingat emas pada hari ini, sekali gus melonjakkan kutipan Pahang kepada 10 pingat emas berdasarkan keputusan terkini.
Tiga pingat emas itu hadir menerusi acara 25 Meter Rapid Fire Pistol Men Individu, 50 Meter Rifle Prone Men Team dan 10 Meter Air Pistol Women Team yang berlangsung di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang.

Dalam acara 25 Meter Rapid Fire Pistol Men Individu, Cheah Zen Hong tampil cemerlang apabila meraih emas selepas mencatatkan 558 mata, mengatasi wakil Terengganu yang meraih perak dengan 537 mata dan Selangor yang membawa pulang gangsa dengan 548 mata.
Emas kedua Pahang dalam acara menembak hadir menerusi kuartet Muhammad Fikhri Hafiy Mohd Fazley, Ahmad Zaffin Kushairie Mohd Azman dan Ahmad Fahmi Adani Ahmad Faisal Anwar yang mengungguli acara 50 Meter Rifle Prone Men Team dengan catatan keseluruhan 1,817.7 mata, meninggalkan Perak dengan 1,812.3 mata dan Negeri Sembilan dengan 1,800.2 mata.

Dalam acara individu 50 Meter Rifle Prone Men pula, Ahmad Fahmi Adani melengkapkan hari gemilangnya apabila meraih pingat perak dengan catatan 607.6 mata, di belakang wakil Negeri Sembilan yang mencatat 610.2 mata, manakala Perak di tempat ketiga dengan 606.4 mata.
Sementara itu, skuad wanita Pahang turut menghadiahkan emas menerusi acara 10 Meter Air Pistol Women Team apabila Damia Hani Mohamad Sakran, Siti Annisa Syakirah binti Mohd Jazlan dan Wan Nur Afiqah m Wan Mohd Haneef mengumpul 1,657 mata untuk muncul juara, diikuti Sarawak dengan 1,652 mata dan Selangor 1,614 mata.

Kecemerlangan skuad wanita itu diteruskan dalam acara individu apabila Damia Hani meraih pingat gangsa dengan catatan 207.8 mata.
Bagi Ahmad Fahmi Adani yang membuat penampilan pertama di SUKMA, kejayaan meraih satu emas menerusi acara berpasukan dan satu perak dalam acara individu disifatkan sebagai detik amat membanggakan selepas segala usaha dan sokongan ibu bapa serta jurulatih membuahkan hasil.
“Saya rasa amat gembira sebab dapat menyumbang pingat perak dan emas pada Pahang. Saya nak ucapkan terima kasih kepada ibu bapa saya dan coach sebab selama ini support saya, mengharungi semua cabaran,” katanya yang menyasarkan untuk menyertai lebih banyak acara termasuk Air Rifle Men, Triple Men dan Mixed pada masa akan datang.
Bercerita lanjut, Ahmad Fahmi Adani berkata, dia mula terlibat dengan sukan menembak pada tahun 2023 apabila anak kelahiran Kuantan itu diminta bapanya untuk menyertai ujian saringan menembak.
“2023. Lepas itu ayah saya ada tunjuk poster orang menembak… saringan. Saya pergi lah.
Saya memang minat menembak. Idola saya Fikhri Hafiy (rakan sepasukan). Dia jadi saya punya semangat nak tembak. Dia banyak tolong saya selama saya masuk menembak ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pahang turut menambah emas menerusi sukan memanah di mana atlet Muhammad Haiqal Danish dalam acara Recurve 70M Lelaki Individu turut memecahkan dua rekod kejohanan SUKMA sebelum ini.
Selain itu, Muhammad Imran Abdullah menghadiahkan emas dalam acara lompat jauh lelaki dengan catatan 7.45 meter dan Sri Murugan Al Sundramoorty meraih perak dalam acara 1,500 meter lelaki.
Dengan tambahan tiga emas daripada skuad menembak serta kejayaan dalam memanah dan olahraga, Pahang berjaya menambah lima pingat emas, dua perak, dan satu gangsa berdasarkan keputusan terkini yang diperolehi sekali gus menjadikan keseluruhan 10 pingat emas, enam perak dan 13 gangsa.
Ia sekali gus memperlihatkan momentum positif kontinjen Pahang untuk terus memburu sasaran kecemerlangan di SUKMA Selangor XXII 2026. – PAHANGMEDIA

