Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
ROMPIN, 18 OGOS 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar hak dan kebajikan Orang Asli terus dipertahankan, namun pencerobohan serta tuntutan yang bercanggah dengan undang-undang tidak akan dikompromi.
“Hak Orang Asli yang sah, kita akan pertahankan. Kebajikan mereka, kita akan pelihara. Tetapi pencerobohan, peluasan kawasan tanpa kebenaran atau tuntutan yang tidak berlandaskan undang-undang tidak boleh dikompromi,” titah Baginda.

Baginda turut mengingatkan masyarakat Orang Asli supaya menggunakan saluran permohonan yang sah melalui JAKOA dan agensi kerajaan berkaitan dalam memperjuangkan hak mereka serta tidak terburu-buru membuat tuduhan terhadap mana-mana pihak.
“Jangan cepat nak pergi memburuk, memfitnah mana mana pihak, gunakan proses permohonan yang sah melalui JAKOA atau agensi kerajaan yang sah dan sebagainya.

“Saya harap ini semua menjadi ingatan kepada semua pihak khususnya pihak istana, pihak kerajaan, pihak masyarakat Orang Asli di negeri Pahang ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Program Kenduri Rakyat Sempena Hari Orang Asli Tahun 2026 di Kampung Orang Asli Sungai Mok, dekat sini, hari ini.
Hadir sama Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; serta barisan ketua-ketua jabatan.

Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan atau mengeruhkan keadaan sehingga menjejaskan hubungan antara masyarakat Orang Asli, Kerajaan Negeri dan pihak berkepentingan.
Baginda bertitah akan terus memantau serta memberi perhatian sewajarnya terhadap masyarakat Orang Asli di Pahang bagi memastikan hak mereka yang sah dipertahankan dan kebajikan mereka terus dipelihara.
“Saya akan terus memantau, memberi perhatian yang sewajarnya kepada kaum Orang Asli di negeri Pahang ini,” titah Baginda. -PAHANGMEDIA

