Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
ROMPIN, 18 OGOS 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah mengingatkan semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan istilah ‘Tanah Adat’ dalam memperkatakan hak tanah masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia.
Baginda bertitah, perkara itu perlu diperjelaskan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Orang Asli, khususnya berhubung status dan hak terhadap sesuatu kawasan yang diduduki atau digunakan.
“Istilah yang diperuntukkan secara khusus mengikut Akta 134 adalah ‘Kawasan Orang Asli’ di bawah Seksyen 6 dan ‘Rizab Orang Asli’ di bawah Seksyen 7.

“Ia boleh diisytiharkan oleh pihak berkuasa negeri melalui pemberitahuan dalam Warta.
“Oleh itu, janganlah kita sewenang-wenangnya menggunakan istilah ‘Tanah Adat’ seolah-olah setiap kawasan yang pernah diduduki, dimasuki atau digunakan secara automatik menjadi hak,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Program Kenduri Rakyat Sempena Hari Orang Asli Tahun 2026 di Kampung Orang Asli Sungai Mok, dekat sini, hari ini.

Turut hadir mengiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; serta barisan ketua-ketua jabatan.
Al-Sultan Abdullah bertitah, Kerajaan Negeri tidak pernah berniat untuk menafikan hak masyarakat Orang Asli, sebaliknya hak dan kebajikan mereka wajib dihormati, dipelihara serta dilindungi berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang.
“Namun hak mestilah berjalan bersama undang-undang. Di bawah Akta 134, pihak berkuasa negeri mempunyai kuasa untuk memberikan hak menduduki tanah tertentu dalam Kawasan Orang Asli atau Rizab Orang Asli,” titah Baginda.

Sehubungan itu, Baginda menitahkan supaya proses pengukuran, persempadanan dan pewartaan Kawasan Orang Asli dipercepatkan bagi memastikan kawasan yang diperuntukkan kepada masyarakat berkenaan benar-benar terpelihara.
“Sempadan yang jelas juga penting supaya kawasan yang diperuntukkan kepada Orang Asli benar-benar terpelihara dan masa yang sama mengelakkan pertindihan serupa dan tuntutan tanpa batas,” titah baginda.
Mengulas status tanah masyarakat Orang Asli di Pahang, Baginda memaklumkan daripada keseluruhan 264 Kampung Orang Asli (KOA) di negeri ini, sebanyak 30 KOA telah selesai diwartakan, manakala 16 KOA telah diberikan milik tanah.

“Status Kampung Orang Asli keseluruhannya di Pahang sebanyak 264, 30 kawasan Orang Asli telah selesai diwartakan dan 16 kawasan Orang Asli telah diberikan hak milik tanah.
“Ini menjadikan 46 KOA mempunyai penyelesaian status tanah, manakala 218 KOA masih berbaki,” titah Baginda.
Baginda mahu perkara itu diperhalusi dengan mengenal pasti setiap masalah serta halangan yang menyebabkan proses penyelesaian status tanah masih belum dapat diselesaikan.
“Saya mahu perkara ini diperhalusi. Jika ada masalah, nyatakan masalahnya, jika ada halangan undang-undang, cari kaedah penyelesaiannya. Jangan dibiarkan Orang Asli menunggu tanpa kepastian,” titah Baginda. -PAHANGMEDIA

