Oleh : Syafiqah Jamaluddin
SELANGOR, 17 OGOS 2026 : Kemenangan 62-50 ke atas Melaka dalam aksi pembukaan bola jaring Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 hari ini belum cukup untuk membuatkan Pahang berpuas hati apabila ketua jurulatihnya, Nur Haritha Hafifah Hatib, mahu anak buahnya segera memperbaiki kesilapan mudah.
Haritha berkata kemenangan ke atas Melaka sememangnya menepati sasaran awal pasukan dalam usaha memburu kedudukan Johan Kumpulan, sekali gus mendapatkan laluan lebih baik ke peringkat suku akhir.
“Memang saya target menang dengan Melaka sebab kami perlu Johan Kumpulan untuk laluan yang senang di peringkat suku akhir.
“Hari ini kami dah menang dengan Melaka, jadi misi seterusnya perlu menang dengan Sarawak dan Terengganu,” katanya.
Menurutnya, Pahang turut menggunakan pendekatan taktikal berbeza berdasarkan kekuatan fizikal lawan, termasuk memanfaatkan pemain yang mempunyai kelebihan ketinggian.

Katanya, kekuatan Pahang adalah memiliki barisan 12 pemain yang hampir setara, sekali gus membolehkan pasukan mengubah strategi mengikut corak permainan lawan.
“Kalau lawan mempunyai pertahanan yang tinggi, kita perlukan shooter yang agak besar untuk blocking. Jadi mungkin hari ini dengan Melaka begitulah perancangannya.
“Untuk Terengganu dan Sarawak mungkin kita ada perancangan lain. Kekuatan pasukan kita lebih kurang sama, jadi kita boleh tukar Plan A kepada Plan B dan Plan B kepada Plan C tanpa masalah sebab semua boleh bermain,” katanya.
Bagaimanapun, Haritha mengakui kemenangan 12 mata itu tidak menggambarkan sepenuhnya prestasi yang diharapkan apabila Pahang masih melakukan terlalu banyak kesilapan mudah sepanjang perlawanan.
“Walaupun kami menang dengan Melaka hari ini, permainan tak begitu cantik. Kami sendiri tak berpuas hati dan saya yakin pemain pun tak berpuas hati dengan prestasi masing-masing,” katanya.
Justeru, beliau mahu kelemahan tersebut segera diperbaiki sebelum Pahang berdepan Sarawak dan Terengganu, dengan kedua-dua perlawanan dianggap penting dalam misi menguasai kumpulan.

Sementara itu, kapten Pahang, NurAin Humaira’, 21, menyifatkan kemenangan itu sebagai hasil kerjasama baik seluruh pasukan daripada bahagian pertahanan sehingga ke barisan penyerang.
Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, Pahang perlu memperkemaskan taktikal serta mengurangkan kesilapan mudah menjelang aksi seterusnya menentang Sarawak.
“Alhamdulillah hari ini kita menang lawan Melaka. Semuanya main dengan baik dan kerja sama pun baik. Semua buat kerja masing-masing daripada defence sampailah ke shooter.
“Untuk lawan Sarawak, kita perlu baiki lagi taktikal dan kurangkan simple mistake. Tadi pun banyak simple mistake, termasuk bola turnover yang sepatutnya sampai dekat shooter tetapi tak sampai,” katanya.
Beliau berkata, segala kelemahan yang dikenal pasti akan dibincangkan pasukan bagi memastikan persiapan lebih rapi sebelum turun beraksi pada perlawanan berikutnya.
Dengan kemenangan pertama, Pahang kini mengalihkan fokus kepada Sarawak dan Terengganu dengan sasaran jelas untuk mengekalkan momentum, mengurangkan kesilapan dan muncul Johan Kumpulan bagi membuka laluan lebih cerah ke peringkat suku akhir. -PAHANGMEDIA

