Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
SELANGOR, 17 OGOS 2026 : Baru setahun 17 hari menceburi sukan menembak, atlet muda Pahang, Nur Auni Arissa Muhammad Azaha membuktikan dirinya mampu bersaing di pentas tertinggi apabila menghadiahkan pingat perak dalam acara 10 Meter Air Rifle Wanita Individu pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Selangor 2026, hari ini.
Lebih manis, pencapaian itu hadir pada penampilan sulungnya di temasya SUKMA selepas bakatnya dikesan jurulatih ketika menyertai saringan pertandingan peringkat kebangsaan.
Auni Arissa mencatatkan 244.2 mata untuk meraih perak, hanya ketinggalan 0.6 mata kepada pemenang emas dari Sabah yang mengumpul 244.8 mata, manakala Perak melengkapkan podium dengan 223.4 mata pada pertandingan di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang.
Mengimbau pencapaian berkenaan, Auni Arissa mengakui dirinya langsung tidak menjangkakan mampu menyumbangkan pingat buat Pahang dalam penampilan pertama di SUKMA.
“Ya, saya tak ‘expect’ langsung. Jadi saya macam, gembira saya dapat sumbangkan kat Pahang pingat Perak,” katanya ketika ditemui selepas selesai majlis penyampaian pingat bagi sukan menembak bertempat di Lapang Sasar Subang, di sini.
Auni Arissa berkata kejayaan itu menjadi pembakar semangat untuknya meneruskan latihan dan memburu pencapaian lebih tinggi pada masa akan datang.
“Kalau saya direzekikan, saya akan sambung lagi menembak. Saya akan cuba lah (dapatkan emas pula). Daripada ‘training’ saya, saya akan usaha,” katanya.

Sementara itu, skuad lelaki Pahang turut mencipta kejayaan apabila meraih satu pingat gangsa dan satu pingat perak menerusi acara 10 Meter Air Rifle Lelaki Individu dan berpasukan.
Muhammad Iman Syahmi Mohd Azidi meraih gangsa individu dengan catatan 245.9 mata, di belakang pemenang emas, Perak (245.9 mata) dan gangsa, Sarawak (240.2 mata), manakala Pahang turut meraih perak berpasukan selepas mengumpul 1,823.2 mata.
Pasukan Pahang selain Iman Syahmi, ia turut dibarisi atlet Muhammad Fikhri Hafiy Mohd Fazley dan Ahmad Zaffin Kushairie Mohd Azman hanya ketinggalan 1.4 mata kepada Sabah yang meraih emas dengan 1,824.6 mata, manakala Perak di tempat ketiga dengan 1,821.1 mata.
Iman Syahmi menyifatkan pencapaian tersebut sebagai antara kejayaan terbaik skuad menembak Pahang, khususnya dalam acara rifle berpasukan.
“Pertama sekali saya berasa amat bangga sebab dapat bagi sumbangan pingat kepada negeri Pahang, dan saya amat bersyukur sebab atas usaha saya selama ini dapat juga hasil yang walaupun bukan apa yang saya harapkan, tapi alhamdulillah ini antara yang boleh jadikan kenangan dalam hidup saya sendiri.
“Saya rasa ini antara pencapaian yang terbaik untuk skuad menembak negeri Pahang. Acara Rifle, berkumpulan, dan bagi saya sendiri, usaha yang kami dah taburkan selama ini membuahkan hasil jugalah,” katanya.
Iman Syahmi berkata perjuangan skuad menembak Pahang masih belum berakhir apabila dirinya dijadualkan beraksi dalam acara prone lelaki, three position dan rifle mixed event.
Dalam pada itu, kesemua mereka turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang atas sokongan dan sumbangan yang diberikan kepada skuad menembak, selain jurulatih, rakan sepasukan, keluarga, guru-guru serta semua pihak yang membantu sepanjang perjalanan sehingga ke pentas SUKMA. -PAHANGMEDIA

