Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
SELANGOR, 17 OGOS 2026 : Kontinjen Pahang menambah dua lagi pingat emas pada saingan Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Selangor 2026 selepas atlet menembak, Cheah Zen Hong, cemerlang dalam acara 50 Meter Pistol Men Individu dan berpasukan di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang, hari ini.
Cheah Zen Hong meraih emas acara individu dengan catatan 518 mata, mengatasi wakil Selangor yang mengumpul 514 mata untuk perak, manakala atlet Johor meraih gangsa dengan 511 mata.
Kejayaan itu kemudian disusuli emas kedua Pahang dalam acara 50 Meter Pistol Men Team menerusi gandingan Cheah Zen Hong, Ahmad Danial Hakim Abdul Razak dan Muhammad Zainal ‘Azim Ahmad Mahmud yang mengumpul 1,535 mata.
Johor menduduki tempat kedua dengan 1,497 mata, manakala Perak meraih gangsa selepas mengumpul 1,487 mata.
Cheah berkata kejayaan berkenaan amat disyukuri selepas beliau bersama rakan sepasukan memberikan persembahan terbaik bagi merealisasikan sasaran yang ditetapkan.
“‘Expectation’ itu tinggi kepada kami dan kita memang sangat gembira sebab boleh dapat ‘deliver’ lah,” katanya ketika ditemui selepas selesai majlis penyampaian pingat bertempat di Lapang Sasar Subang, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Cheah mengakui masih belum berpuas hati sepenuhnya dengan catatan yang diraih kerana melihat masih terdapat ruang untuk melakukan penambahbaikan.
“Dari segi markah, tak berapa puas hati. ‘Still’ ada ruang untuk ‘improve’, tapi bagaimanapun, ‘still’ tetap bersyukur sebab boleh dapat menyumbangkan pingat emas untuk Negeri Pahang,” katanya lagi.
Mengulas cabaran pada hari pertama pertandingan, Cheah berkata tekanan daripada sasaran tinggi menjadi antara cabaran utama buat pasukan menembak Pahang.
Beliau turut berharap momentum kejayaan tersebut dapat diteruskan oleh pasukan menembak Pahang sehingga tamat saingan SUKMA Selangor ini nanti.
“Dengan keizinan Tuhan, saya harapkan yang pasukan menembak boleh kekalkan momentum ini sampailah habis SUKMA,” ujarnya.
Dalam pada itu, Cheah turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang atas sokongan berterusan yang diberikan kepada pasukan menembak, khususnya dari aspek kebajikan atlet dan penyediaan peralatan.
“Nak ucap terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang sebab banyak tolong pasukan menembak dari segi kebajikan atlet, dari segi ‘equipment’… sudah banyak ‘improvement’ dekat situ, jadi terima kasih,” ujarnya lagi. -PAHANGMEDIA

