Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Shahrizar Adzhar
KUANTAN, 04 OGOS 2026 : Sektor industri disaran memainkan peranan lebih proaktif dengan berkongsi teknologi, kepakaran dan amalan terbaik bersama institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan graduan yang dilahirkan benar-benar memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, kerjasama erat antara industri dan institusi TVET merupakan strategi penting dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu menyokong pembangunan ekonomi negara.
“Industri diharapkan dapat berkongsi teknologi yang diaplikasikan dalam perusahaan serta perkembangan terkini dengan institusi pendidikan supaya kemahiran yang diperlukan majikan dapat diterapkan kepada pelajar melalui program latihan yang bersesuaian.

“Pada masa sama, institusi pendidikan pula boleh membantu industri menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan idea serta inovasi baharu yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutup International Agrofood Education Needs 2026 (iFAMB@SEN2026) dan International Highest Early Strength Eco-Green Concrete Cube Competition 2026 (I-HESEGC2026) di Dewan Seri Mahkota, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Puan Hilmun Mohamed; Pegawai Pendidikan Tingkat Khas/Pengurus Akademik, Institute of Brunei Technical Education, Puan Mardiana Tahir; dan Pengarag POLISAS, Encik Hisamudin Mohd Tamim.
Menurutnya, perkembangan pesat dalam bidang sains, teknologi dan ekonomi menuntut sistem pendidikan sentiasa relevan dengan perubahan semasa bagi melahirkan modal insan yang memiliki kemahiran selaras dengan keperluan industri.
Beliau dalam pada itu juga berkata, tanggapan bahawa TVET merupakan pilihan kedua perlu diubah kerana negara maju seperti Jerman, Korea Selatan dan China membuktikan pendidikan berasaskan kemahiran menjadi tunjang kepada kemajuan teknologi serta pertumbuhan sektor perindustrian.

“Mereka memberi penekanan kepada pendidikan kemahiran sehingga berjaya melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan mampu menghasilkan teknologi bertaraf dunia.
“Malaysia juga perlu memperkukuh ekosistem TVET bagi memenuhi permintaan tenaga mahir dalam sektor pembuatan, pembinaan, automotif dan pelbagai industri strategik yang terus berkembang,” ujarnya.
Tambahnya, kadar kebolehpasaran graduan TVET khususnya lepasan politeknik dan kolej komuniti yang tinggi membuktikan bidang itu semakin diyakini industri selain membuka peluang kepada graduan menceburi bidang keusahawanan.
Sementara itu, menerusi penganjuran program selama dua hari itu, iFAMB@SEN2026 mempertandingkan empat kategori inovasi yang disertai 255 peserta tempatan dan tiga penyertaan antarabangsa membabitkan negara China, Indonesia dan Brunei.
Manakala, I-HESEGC2026 pula disertai 188 peserta daripada 30 kumpulan yang membabitkan 18 institusi pendidikan tinggi termasuk dua dari Indonesia.
Penganjuran dua program bertaraf antarabangsa itu menjadi platform strategik dalam memperkukuh TVET melalui penghasilan penyelidikan, inovasi, pemindahan teknologi dan perkongsian kepakaran merentas disiplin, sejajar dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi serta Pelan Transformasi Politeknik 2023-2030. -PAHANGMEDIA

