Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 04 OGOS 2026 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyeru semua penjawat awam di negeri ini agar tidak selesa dengan pencapaian yang telah diraih, sebaliknya sentiasa mencari ruang penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan.
Beliau berkata, penjawat awam perlu berani mencabar kebiasaan, keluar daripada zon selesa serta melihat bagaimana sesuatu tugasan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, cekap dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Penjawat awam tidak lagi boleh bekerja dengan cara seperti semalam. Kita mesti berani mencabar kebiasaan, keluar daripada zon selesa dan berfikir di luar kotak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2026 Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang di Hotel Grand DarulMakmur, di sini hari ini.
Seramai 63 penjawat awam negeri termasuk pesara tahun 2026 menerima anugerah tersebut sebagai penghargaan terhadap komitmen, dedikasi serta khidmat bakti mereka dalam melaksanakan amanah kepada negeri dan rakyat.

Katanya lagi, penganugerahan itu bukan sekadar satu bentuk pengiktirafan, malah melambangkan penghargaan kerajaan negeri terhadap penjawat awam yang sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik.
Beliau berkata, sumbangan penjawat awam tidak boleh diukur hanya berdasarkan jumlah tugasan yang diselesaikan, sebaliknya turut merangkumi keikhlasan, pengorbanan serta kesungguhan dalam memastikan urusan rakyat dipermudah.
“Kerajaan negeri amat bersyukur dan berterima kasih atas perkhidmatan awam di negeri Pahang yang berjaya melaksanakan apa yang diharapkan.

“Apa yang diminta daripada penjawat awam dapat dilaksanakan, mungkin tidak sepenuhnya, namun saya boleh katakan sekitar 90 peratus berjaya dilaksanakan dengan penuh semangat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penerima APC perlu melihat pengiktirafan tersebut sebagai permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar untuk terus menjadi contoh kepada warga kerja lain.
Menurutnya, penerima anugerah perlu mengekalkan prestasi, menjadi pembimbing kepada generasi baharu serta memacu budaya kerja berkelas tinggi dalam perkhidmatan awam.
“Budaya kerja Pahang 1st perlu diterjemahkan melalui tindakan, di samping menyeru penjawat awam agar terus berani mencabar kebiasaan, berfikir di luar kotak dan memimpin perubahan demi memastikan Pahang terus berada di hadapan,” katanya. -PAHANGMEDIA

