Oleh : Ain Nadhirah Basha & Zeti Akhtar Lokman
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 04 OGOS 2026 : Kerajaan Negeri terus memperkukuh agenda pemerkasaan masyarakat Orang Asli menerusi pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) dengan menggalakkan lebih ramai belia daripada komuniti itu menyertai program kemahiran.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, graduan Orang Asli yang menamatkan pengajian di YP Advanced Skills perlu menjadi contoh dan inspirasi kepada generasi muda di kampung masing-masing untuk keluar daripada kitaran keciciran pendidikan serta merebut peluang membina masa depan yang lebih baik.

Menurut beliau, penyertaan Orang Asli dalam bidang TVET perlu dipertingkatkan kerana ia mampu membuka peluang kepada belia untuk memperoleh pekerjaan, menjana pendapatan sendiri serta menjadi usahawan berasaskan kemahiran.
“Orang Asli ada lebih 90,000 orang di Negeri Pahang ini. Oleh itu, kita mahu mereka menjadi inspirasi kepada anak-anak Orang Asli di kampung supaya mengambil peluang dan menerokai bidang TVET ini.
“Jangan anggap TVET sebagai pilihan kedua kerana ia memberi banyak kelebihan berbanding kursus-kursus lain. Sekiranya kita mahu bekerja sendiri, kita boleh lakukannya.

“Contohnya, jika mahir dalam bidang pembuatan roti, mereka boleh mengusahakan projek di kampung. Ini bukan sahaja membantu menjana pendapatan, malah tidak perlu keluar jauh untuk mencari rezeki,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meraikan 388 graduan YP Advanced Skills yang terdiri daripada lepasan diploma, sijil, Tahfiz Kemahiran serta pelbagai program TVET di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini.
Beliau turut berharap graduan tidak berhenti setakat memperoleh sijil atau diploma, sebaliknya meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi meningkatkan ilmu, kemahiran dan daya saing, sekali gus memperkasa pembangunan modal insan negeri.

Tambah beliau, YP Advanced Skills memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan yang benar-benar bersedia untuk memasuki dunia pekerjaan.
“Malah, usaha ini turut menyumbang kepada pencapaian negeri apabila kadar pengangguran di Pahang berjaya diturunkan kepada 1.6 peratus pada tahun 2025, berbanding 2.2 peratus pada tahun 2024 dan lebih rendah daripada kadar nasional sebanyak 2.9 peratus.
“Ini membuktikan bahawa apabila kerajaan, institusi pendidikan dan pihak industri bergerak seiring, manfaatnya akan kembali kepada rakyat melalui peluang pekerjaan dan peningkatan taraf hidup,” katanya. -PAHANGMEDIA

