Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Aimi Syafiqa Khairi
BENTONG, 04 OGOS 2026 : Kerajaan Negeri Pahang komited meningkatkan kefahaman para pemaju dan pelabur terhadap proses perancangan pembangunan bagi memperkukuh agenda Ease of Doing Business, sekali gus mewujudkan sistem penyampaian yang lebih cekap, telus dan mesra pelabur.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, masih terdapat segelintir pemaju dan pelabur yang kurang memahami prosedur serta keperluan teknikal berkaitan proses pembangunan, termasuk aspek perancangan yang perlu dipatuhi.
Beliau berkata, kekurangan kefahaman itu menyebabkan ada pihak melantik perunding yang kurang berpengalaman dalam mengendalikan urusan dengan agensi kerajaan sehingga memberi kesan kepada kelancaran proses pembangunan.
“Negeri Pahang sentiasa terbuka kepada kehadiran pelabur dan kita sentiasa memberikan kerjasama yang baik. Namun kita dapati masih ada pemaju dan pelabur yang kurang memahami proses Ease of Doing Business, khususnya membabitkan aspek perancangan.
“Kadangkala mereka melantik perunding yang kurang memahami tatacara berurusan dengan pejabat kerajaan. Sebab itu Klinik Perancangan yang kita laksanakan ini sangat penting bagi meningkatkan kefahaman semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Perasmian Klinik Perancangan 3.0: Ease of Doing Business Negeri Pahang Tahun 2026 anjuran PLANMalaysia Pahang di Geo Resort & Hotel, Genting Highlands, hari ini, sebagai wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang.
Menurut beliau, penganjuran Klinik Perancangan yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu telah menunjukkan impak positif apabila mendapat maklum balas yang baik daripada peserta.
“Jadi klinik pelancaran ini yang kita adakan ini sejak daripada dulu telah menunjukkan sesuatu yang sangat positif. Bahawa ramai tadi saya tanya, mereka memaklumkan program ini memang sangat baik,” katanya.
Mengulas lanjut, program itu bukan sahaja menjadi platform perkongsian ilmu dan penerangan berkaitan prosedur pembangunan, malah membantu memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, pemaju, perunding dan pelabur.
“Hasrat kita adalah untuk menggalakkan lebih ramai pelabur datang ke Negeri Pahang. Kita bersedia dengan perancangan yang lebih rapi serta mahu memudahkan urusan pelabur supaya akhirnya memberi manfaat kepada kerajaan negeri dan rakyat,” katanya.
Program itu menghimpunkan kira-kira 250 peserta terdiri daripada wakil agensi kerajaan peringkat Persekutuan, negeri dan daerah, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), perunding serta pemaju hartanah bagi berkongsi ilmu, pengalaman dan amalan terbaik dalam memperkukuh pelaksanaan pembangunan secara lebih sistematik, berintegriti dan mampan. -PAHANGMEDIA

