Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 03 OGOS 2026 : YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail melahirkan rasa dukacita diatas pemergian Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Allahyarham Mohd Radzi Rahimi hari ini.
Allahyarham Mohd Radzi Rahimi yang lebih dikenali sebagai Edy Radzi, meninggal dunia dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Janda Baik, Bentong pada tengah hari tadi.
“Dengan penuh rasa dukacita, saya menerima perkhabaran pemergian Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Allahyarham Mohd Radzi bin Rahimi atau lebih dikenali sebagai Edy Radzi, yang telah kembali ke rahmatullah dalam kejadian pokok tumbang di Bentong pada tengah hari tadi.
“Lebih memilukan, tragedi tersebut turut meragut nyawa tiga orang ahli keluarga Allahyarham,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau.
Beliau merakamkan ucapan takziah di atas pemergian Allahyarham yang disifatkan sebagai satu kehilangan amat besar, bukan sahaja kepada seluruh ahli keluarga yang ditinggalkan, malah kepada UMNO Bahagian Maran, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang serta Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang.
“Allahyarham dikenali sebagai seorang pemimpin muda yang komited, berjiwa rakyat dan sentiasa istiqamah dalam memperjuangkan perjuangan parti serta berkhidmat kepada masyarakat.
“Bagi pihak Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga mereka dikurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian yang amat berat ini.
“Marilah kita mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat keatas roh Allahyarham dan semua yang terkorban, mengampunkan segala dosa mereka, serta menempatkan mereka dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan empat sekeluarga maut selepas kenderaan jenis pacuan empat roda dinaiki mereka dihempap pokok di Jalan Lama Kuala Lumpur-Karak berhampiran pintu gerbang Janda Baik di Bentong hari ini.
Kejadian berlaku ketika kenderaan jenis Ford Raptor dalam perjalanan dari arah Bentong menuju Janda Baik dipercayai dinaiki lima sekeluarga dihempap sebatang pokok yang tiba-tiba tumbang.
Empat yang dilaporkan maut melibatkan dua lelaki, seorang wanita, dan seorang kanak-kanak lelaki manakala seorang lagi mangsa kanak-kanak lelaki dilaporkan parah.
Kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh bagi proses bedah siasat manakala mangsa yang parah dirawat di Hospital Bentong. -PAHANGMEDIA

