Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 03 OGOS 2026 : Empat sekeluarga maut selepas kenderaan jenis pacuan empat roda dinaiki mereka dihempap pokok di Jalan Lama Kuala Lumpur-Karak berhampiran pintu gerbang Janda Baik di Bentong hari ini.
Kejadian berlaku ketika kenderaan jenis Ford Raptor dalam perjalanan dari arah Bentong menuju Janda Baik dipercayai dinaiki lima sekeluarga dihempap sebatang pokok yang tiba-tiba tumbang.
Empat yang dilaporkan maut melibatkan dua lelaki, seorang wanita, dan seorang kanak-kanak lelaki manakala seorang lagi mangsa kanak-kanak dilaporkan parah.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu jam 1 tengah hari.
“Seorang lagi penumpang membabitkan kanak-kanak lelaki dilaporkan sudah dikeluarkan orang awam dan mangsa dilaporkan parah dan dihantar ke hospital.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas resque tool. Masih dalam tindakan operasi. Maklumat terkini akan dislaurkan dari masa ke semasa,” katanya.
Menurutnya, operasi dijalankan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dibantu Pasukan Bomba Sukarela Janda Baik.
Mohd Salahuddin berkata, bomba mengambil masa lebih sejam untuk membawa keluar empat mangsa yang tersepit di dalam kenderaan berkenaan sebelum mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh bagi proses bedah siasat. -PAHANGMEDIA

