Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 02 OGOS 2026 : Kerajaan Negeri Pahang terus memperkukuh agenda pembangunan syiar Islam apabila memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk memulakan kerja-kerja pembinaan Masjid Kampung Bolok Hilir, Lanchang Temerloh, di sini.
Pengumuman itu dibuat oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menghadiri Kenduri dan Ramah Mesra Cucu Cicit Sutan Mas bersama masyarakat setempat di Kampung Bolok, Lanchang Temerloh hari ini.

Beliau berkata, peruntukan tersebut adalah bagi membantu memenuhi keperluan pembinaan masjid baharu demi keselesaan penduduk setempat dalam melaksanakan ibadah serta aktiviti kemasyarakatan.
“Saya akan pastikan Pejabat Kewangan Negeri Pahang mengeluarkan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk pembinaan masjid di kampung ini.
“Saya sangat percaya dengan RM1 juta itu boleh memulakan kerja-kerja pembinaan dan mungkin juga kita boleh memohon bantuan daripada Kerajaan Persekutuan serta sokongan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada waris dan keturunan Sutan Mas yang hadir serta menyifatkan pertemuan tersebut sebagai platform terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat.
“Terima kasih kepada waris-waris semua. Saya tahu mungkin tuan-tuan dan puan-puan pernah melihat saya di surat khabar atau di televisyen, tetapi hari ini kita dapat bertemu secara bersemuka dan saya juga berasa gembira kerana dapat bersama-sama dengan tuan-tuan dan puan-puan.

“Walaupun perjumpaan hari ini singkat dan mungkin saya tidak dapat mengingati semua, tetapi kalau berjumpa di mana-mana nanti, tegurlah saya dan beritahu bahawa tuan-tuan ialah waris cucu cicit Sutan Mas,” katanya.
Peruntukan yang diumumkan itu sekali lagi membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkasakan pembangunan institusi masjid serta memastikan kebajikan dan kesejahteraan umat Islam di negeri ini terus menjadi keutamaan. -PAHANGMEDIA

