Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 2 OGOS 2026 : Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail menafikan dakwaan bahawa Barisan Nasional (BN) menggunakan sentimen perkauman sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang berlangsung semalam.
Beliau berkata, kemenangan calon MCA di sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang majoriti pengundinya terdiri daripada orang Melayu membuktikan dakwaan tersebut tidak berasas.
“Saya ingin menjawab dakwaan pihak sebelah sana yang mengatakan kita berkempen menggunakan isu perkauman. Saya nafikan perkara itu kerana jika kita lihat di DUN Chennah, calon MCA bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu, namun orang Melayu tetap memberikan undi kepada calon tersebut.
“Ini membuktikan bahawa kita tidak bersifat rasis dan tidak memainkan isu perkauman. Jika kita memainkan isu perkauman, calon MCA di DUN Chennah tidak mungkin menang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Apresiasi Pahang1st: Himpunan 1,000 Pendekar Silat Berbusana Daerah Temerloh Parlimen Temerloh 2026 di Dataran Temerloh, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi di Negeri Sembilan yang telah menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya berkenaan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi di Negeri Sembilan yang mengundi Barisan Nasional khususnya dan juga Perikatan Nasional kerana mereka telah membuat pilihan yang tepat,” katanya.
Mengulas perkembangan politik semasa, beliau berkata pendekatan yang diambil adalah berdasarkan keperluan dan situasi semasa di setiap negeri.
“Di negeri ini, kita bergerak secara kes demi kes. Kini kita telah selesai di Negeri Sembilan, selepas ini mungkin Melaka, bergantung kepada kepimpinan di sana,” katanya.-PAHANGMEDIA

