Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 01 OGOS 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menegaskan Institusi Orang Besar Negeri Pahang merupakan warisan Kesultanan Melayu Pahang yang menjadi lambang kedaulatan, kesetiaan serta kesinambungan adat istiadat negeri sejak zaman-berzaman.
Baginda bertitah, meskipun sistem pentadbiran moden telah berubah, institusi berkenaan kekal berperanan sebagai penjunjung adat istiadat Kesultanan Pahang, pemelihara warisan negeri dan penghubung yang mengukuhkan hubungan antara institusi diraja dengan rakyat.
Pada istiadat itu, Baginda turut mengumumkan pelantikan YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib sebagai Orang Kaya Indera Shahbandar, sekali gus mengisi kekosongan jawatan dalam Institusi Orang Besar Berempat Negeri Pahang.
“Beta menaruh keyakinan bahawa beliau akan memikul amanah ini dengan penuh integriti, menjunjung tinggi adat istiadat Kesultanan Pahang serta meneruskan legasi kepimpinan Orang Besar Berempat dalam mempertahankan maruah negeri dan berbakti kepada rakyat,” titah Baginda.
Dalam titah sama, Al-Sultan Abdullah mengingatkan seluruh Orang Besar Negeri dan kerabat diraja supaya sentiasa memelihara nama baik institusi, sambil menegaskan bahawa gelaran dan kebesaran bukan satu keistimewaan, sebaliknya amanah yang menuntut integriti, kesetiaan dan kepatuhan kepada undang-undang.
Baginda turut memberi amaran bahawa sebarang salah laku yang mempunyai asas dan disokong bukti sah akan disiasat serta dikenakan tindakan tegas tanpa mengira kedudukan atau pertalian.
“Jangan sesekali berselindung di sebalik gelaran, pengaruh atau hubungan kekeluargaan untuk mencemarkan maruah institusi Kesultanan. Dalam soal amanah dan integriti, tiada siapa yang mengatasi undang-undang,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

