Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 01 OGOS 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menegaskan bahawa tanah negeri bukan sekadar aset fizikal, sebaliknya lambang kedaulatan, maruah negeri serta warisan rakyat yang wajib dipertahankan daripada sebarang bentuk pencerobohan dan penerokaan haram.
Paduka Baginda bertitah, Kerajaan Negeri Pahang akan terus mempertahankan setiap inci tanah negeri dengan penguatkuasaan yang tegas tanpa memilih bulu, sekali gus memastikan undang-undang tidak tunduk kepada pengaruh, tekanan atau kepentingan mana-mana pihak.
“Tanah bukan sekadar hamparan bumi yang dipijak. Tanah ialah maruah negeri, lambang kedaulatan, sumber rezeki rakyat dan warisan yang dipertanggungjawabkan kepada kita untuk dipelihara, bukannya di perdagangkan sesuka hati.
“Atas prinsip itulah, beta menegaskan bahawa setiap inci tanah Negeri Pahang wajib dipertahankan dan sebarang bentuk penerokaan, pencerobohan atau penguasaan tanah secara haram tidak akan sesekali dibiarkan.
“Dalam soal kedaulatan tanah dan maruah Negeri Pahang, pendirian beta tetap sama; undang-undang hendaklah ditegakkan tanpa gentar, tanpa pilih kasih dan tanpa sebarang kompromi,” titah baginda.
Titah Paduka Baginda, pelbagai operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu membuktikan ketegasan Kerajaan Negeri dalam mengembalikan hak negeri tanpa mengira kedudukan atau latar belakang pihak yang terlibat.
“Pelbagai operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan di seluruh negeri tanpa memilih siapa pelakunya, tanpa mengira kedudukan, pengaruh atau latar belakang. Tindakan ini bukan bertujuan menzalimi mana-mana pihak, sebaliknya untuk mengembalikan hak yang telah lama dirampas daripada negeri,” titah baginda.
Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Daerah dan Tanah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Perhutanan serta semua agensi penguat kuasa yang melaksanakan amanah dengan penuh keberanian, integriti dan profesionalisme.
Pada masa sama, Paduka Baginda menyeru rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang tular di media sosial dengan naratif yang sengaja diwujudkan bagi mengelirukan masyarakat berhubung isu tanah.
“Lebih mendukacitakan apabila terdapat segelintir pihak yang sanggup menjadi api dalam sekam; kelihatan seolah-olah memperjuangkan nasib rakyat, tetapi hakikatnya mengeruhkan lagi keadaan, menggalakkan penerokaan haram dan mengambil kesempatan daripada kekeliruan yang berlaku.
“Ada yang berselindung di sebalik nama pertubuhan, ada yang berlindung di bawah pentas politik, malah tidak terkecuali mereka yang menggunakan kedudukan dan pengaruh tertentu untuk mencampuri urusan penguatkuasaan.
“Perbuatan seperti ini bukanlah suatu perjuangan, sebaliknya satu pengkhianatan terhadap kepentingan negeri dan keluhuran undang-undang,” titah baginda.
Baginda turut menegaskan bahawa mana-mana pihak yang menghasut rakyat melanggar undang-undang, melindungi penceroboh atau menyebarkan fakta mengelirukan sehingga menggugat kepentingan negeri hendaklah disiasat dan dikenakan tindakan mengikut lunas undang-undang.
“Apabila undang-undang mula dipilih-pilih untuk dilaksanakan, ketika itulah keadilan mula kehilangan maknanya. Dan apabila keadilan rebah, maruah sesebuah negeri turut runtuh bersamanya,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

