Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 1 OGOS 2026 : “Kemajuan yang sebenar bukanlah apabila kita berjaya menakluk alam, tetapi apabila kita berjaya memeliharanya,” titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Paduka Baginda menegaskan bahawa usaha mempertahankan hutan adalah jauh lebih sukar berbanding menebangnya, justeru Kerajaan Negeri sanggup mengorbankan sebahagian hasil bagi memastikan warisan alam terus terpelihara.
“Alam yang diwarisi bukan untuk dihabiskan, tetapi untuk dipelihara. Atas prinsip itulah Kerajaan Negeri Pahang terus berpegang bahawa pembangunan tidak boleh dibina atas kemusnahan alam.
“Hakikatnya, mempertahankan hutan jauh lebih sukar daripada menebangnya. Menanam semula sebatang pokok mengambil masa puluhan tahun, tetapi menumbangkannya hanya memerlukan beberapa minit.
“Sebab itu Kerajaan Negeri sanggup mengorbankan sebahagian peluang hasil demi memastikan khazanah alam ini terus terpelihara untuk anak cucu sebagai amanah yang wajib dipertahankan,” titah Baginda.
Titah Paduka Baginda, sehingga kini lebih 1.59 juta hektar atau 44 peratus keluasan negeri kekal sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK), selain pewartaan kawasan hutan baharu bagi memperkukuh usaha pemuliharaan.
“Lebih membanggakan, Kerajaan Negeri menetapkan dasar bahawa setiap kawasan Hutan Simpanan Kekal yang dinyahwartakan bagi tujuan pembangunan awam atau ekonomi hendaklah diganti dengan kawasan hutan lain yang setara atau lebih bernilai.
“Prinsip ini mencerminkan iltizam bahawa setiap inci khazanah alam yang digunakan demi pembangunan rakyat tidak akan dibiarkan hilang tanpa diganti,” titah Baginda.
Pada masa sama, Baginda berpandangan usaha pemuliharaan hutan di negeri ini wajar menerima sokongan lebih adil daripada Kerajaan Persekutuan melalui mekanisme Ecological Fiscal Transfer (EFT), memandangkan manfaat hutan negeri ini dinikmati oleh seluruh negara. – PAHANGMEDIA

