Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 01 OGOS 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menyeru Kerajaan Persekutuan memperkukuh kawalan sempadan, memperketat kemasukan warga asing serta mempercepat penghantaran pulang pendatang tanpa izin.
Paduka Baginda bertitah ini memandangkan pelaksanaan langkah pencegahan di pintu masuk negara adlaah lebih berkesan daripada bertindak selepas keadaan menjadi rumit.
“Beta juga menyeru agar Kerajaan Persekutuan terus memperkukuhkan kawalan sempadan negara, memperketatkan proses kemasukan warga asing, mempercepat penghantaran pulang pendatang tanpa izin serta mengambil tindakan tegas kepada semua pihak yang terlibat.
“Malah pada hemat beta, langkah yang paling berkesan ialah membendung isu ini sejak di pintu masuk negara, khususnya di perairan negara, sebelum mereka berjaya bertapak dan membentuk penempatan.nMencegah di sempadan jauh lebih berkesan daripada merawat apabila keadaan telah menjadi rumit,” titah baginda.
Paduka Baginda menegaskan isu lambakan warga asing termasuk pelarian Rohingya bukan lagi sekadar isu imigresen, sebaliknya telah menyentuh aspek keselamatan, kedaulatan negara dan masa depan generasi akan datang.
Titah baginda, Malaysia sentiasa mengamalkan dasar terbuka kepada individu yang memasuki negara secara sah namun ia tidak boleh disalah tafsir sebagai kelemahan dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Negara ini sentiasa menghulurkan tangan kepada mereka yang datang secara sah untuk bekerja, melabur, menuntut ilmu ataupun menyumbang kepada pembangunan ekonomi. Namun sifat terbuka tidak boleh disalahertikan sebagai lemahnya kedaulatan. Sifat berperikemanusiaan tidak boleh dianggap sebagai ruang untuk sesiapa mengambil kesempatan.
“Beta memandang serius fenomena lambakan warga asing yang semakin ketara di beberapa kawasan dalam Negeri Pahang dan juga di seluruh negara. Termasuklah lambakan pelarian Rohingya yang mula membimbangkan.
“Sekiranya terdapat penempatan haram oleh pendatang asing di negeri ini, beta titahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan drastik dengan meruntuhkan struktur bangunan terlibat khususnya di atas tanah kerajaan,” titah baginda.
Paduka Baginda turut menzahirkan kebimbangan apabila terdapat segelintir pihak mengambil kesempatan dengan mewujudkan penempatan tidak terkawal, menjalankan aktiviti tanpa kebenaran serta bertinda seolah mempunyai hak setara dengan warganegara.
“Keadaan ini bukan sahaja menimbulkan keresahan rakyat, malah boleh menggugat ketenteraman awam, keselamatan dan keharmonian masyarakat. Hari ini kita melihat ada kawasan yang dipenuhi pekerja asing sehingga penduduk tempatan berasa asing di tempat sendiri.
“Ada premis perniagaan yang hampir keseluruhannya bergantung kepada tenaga kerja asing. Ada penempatan yang semakin berkembang tanpa kawalan yang sewajarnya.
“Perkembangan seperti ini tidak boleh dipandang ringan. Ia bukan sekadar isu imigresen. Ia adalah isu keselamatan negara. Ia adalah isu kedaulatan. Ia adalah isu masa depan anak cucu kita,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah dalam titah menegaskan bahawa bumi Pahang dan Malaysia bukanlah tempat yang boleh diduduki sesuka hati namun semua pihak perlulah menghormati undang-undang yang ada. -PAHANGMEDIA

