Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 28 JULAI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang bertegas mempertahankan hak atlet Para SUKMA negeri ini sekiranya terdapat keputusan yang disifatkan tidak munasabah sehingga menyebabkan mereka gagal beraksi pada Para SUKMA 2026 walaupun layak mewakili negara di peringkat antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, Kerajaan Negeri sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung isu membabitkan atlet para dalam acara lawn bowls yang didakwa tidak melepasi penilaian untuk bertanding pada Para SUKMA.
Menurutnya, sekiranya dakwaan itu benar, Pahang akan mengemukakan bantahan kepada pihak penganjur.
“Saya nak minta tolong pihak penganjur rasional berkenaan perkara ini. Kalau beliau boleh mewakili negara dalam acara sama, kenapa tak boleh mewakili negeri Pahang?
“Macam mana boleh lepas spesifikasi antarabangsa, takkan peringkat nasional tak lepas? Jadi saya akan ‘fight ‘perkara ini, kalau atlet Pahang boleh main untuk negara, kenapa tak boleh main untuk Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen SUKMA dan Para SUKMA Negeri Pahang yang disempurnakan YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
YB Tuan Fadzli juga berkata, perkara seumpama itu tidak seharusnya berlaku kerana ia tidak hanya mendatangkan kerugian kepada atlet itu sendiri, malah juga negeri dan negara.
“Saya minta penganjur rasional berkenaan perkara ini sebab kita dah ‘training’ lama, kita dah belanja besar, tiba-tiba dari segi spesifikasi, sebab ada dakwaan-dakwaan tertentu, atlet kita tidak boleh bertanding.
Jadi ini rugi. Rugi pada negeri, rugi pada negara. Jadi saya sedang dapatkan maklumat lanjut berkenaan perkara ini, dan kalau ia berlaku, Pahang akan membuat bantahan,” katanya lagi.
Beliau bagaimanapun menegaskan Pahang sentiasa akur dengan penilaian yang ditetapkan bagi atlet Para SUKMA selama ini namun berharap agar penilaian yang dibuat tidak merencatkan persiapan atlet para Pahang.
“Pada saya, kita atlet para ini kadang-kadang sensitif. Jadi bila benda-benda yang macam ini, dia merencatkan dia orang punya persiapan, mental dia dan sebagainya. Mereka dah ‘training’ lama.
“Dan kita mengikuti rapat isu ini, tak ada keputusan lagi. Tapi Pahang bertegaslah. Buat keputusan secara rasional, jangan ambil mudah masa depan atlet,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

