Oleh : Norhafizan Zulkifli & Zeti Akhtar Lokman
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 28 JULAI 2026 : Kontinjen Negeri Pahang meletakkan sasaran membawa pulang 35 pingat emas pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor, manakala 15 pingat emas disasarkan bagi Para SUKMA.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, sasaran itu tetap diletakkan walaupun jumlah acara Para SUKMA kali ini lebih sedikit berbanding edisi sebelum ini.
“Bagi SUKMA, kita menyasarkan 35 pingat emas, manakala Para SUKMA pula 15 pingat emas.
“Walaupun banyak acara Para SUKMA tidak dipertandingkan dan jumlahnya lebih rendah berbanding edisi di Sarawak sebelum ini, kita tetap meletakkan harapan untuk meraih 15 pingat emas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen SUKMA dan Para SUKMA Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang turut membuat penyerahan bendera kepada Ketua Kontinjen SUKMA Pahang, YB Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin dan Ketua Kontinjen Para SUKMA Pahang, Encik Zamzuriadi Shamsuddin.
Menurut beliau, antara acara yang dijangka menjadi penyumbang utama pingat emas ialah menembak, selain angkat berat, silat serta beberapa sukan baharu yang berpotensi.

“Dalam SUKMA lalu, kita muncul juara keseluruhan bagi acara menembak dengan kutipan 12 pingat emas.
“Kali ini kita menyasarkan untuk mengulangi, malah memperbaiki pencapaian tersebut. Selain itu, sukan yang sinonim dengan kita seperti angkat berat dan silat turut menjadi sandaran, di samping potensi daripada sukan baharu seperti memanah dan judo,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM12 juta bagi persiapan kontinjen SUKMA dan Para SUKMA kali ini.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail atas keprihatinan terhadap keperluan atlet-atlet kita,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri mengekalkan ganjaran sebanyak RM6,000 kepada pemenang pingat emas individu, selain optimis ganjaran tambahan boleh dipertimbangkan sekiranya kontinjen Pahang mencatat kejayaan cemerlang.
“Ganjaran RM6,000 itu kita kekalkan seperti edisi di Sarawak sebelum ini. Namun, kita optimis sekiranya pencapaian cemerlang diraih, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan ganjaran tambahan,” katanya.
Bagi SUKMA Selangor 2026 yang akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini, Pahang akan diwakili seramai 737 atlet, terdiri daripada 397 atlet lelaki dan 340 atlet wanita.
Manakala bagi Para SUKMA, seramai 75 atlet akan mewakili negeri ini, melibatkan 49 atlet lelaki dan 26 atlet wanita. -PAHANGMEDIA

