Oleh : Zeti Akhtar Lokman
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 28 JULAI 2026 : YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan setiap atlet yang akan mewakili negeri ini ke SUKMA 2026 dan Para SUKMA 2026 supaya membawa harapan serta maruah seluruh rakyat Negeri Pahang pada temasya sukan yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
YAM Tengku Muhammad berkata, penyerahan bendera negeri ini bukan sekadar acara biasa, tetapi satu simbol amanah dan kepercayaan besar daripada rakyat Pahang.
“Bila masuk ke gelanggang nanti, anda bukan lagi bertanding untuk diri sendiri sahaja. Anda membawa doa jutaan rakyat Pahang, lambang kebanggaan negeri, serta semangat anak Pahang,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kepada Kontinjen SUKMA dan Para SUKMA Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal.
Pada temasya kali ini, Pahang mempertaruhkan 737 atlet dalam 37 jenis sukan dengan sasaran 35 pingat emas, manakala kontinjen Para SUKMA membabitkan 75 atlet yang akan bersaing dalam 10 jenis sukan.
Menurut YAM Tengku Muhammad, kejayaan sebenar bukannya bermula di atas podium semata-mata, sebaliknya hasil usaha gigih dan pengorbanan masa latihan yang panjang.
“Beza atlet biasa dengan atlet hebat ialah sikap. Juara sentiasa berdisiplin, fokus, hormat lawan, belajar daripada kegagalan, dan sentiasa mahu jadi lebih baik daripada semalam,” katanya.

Beliau memuji atlet Para SUKMA yang menjadi inspirasi kerana membuktikan kekuatan sebenar datang daripada semangat yang tidak mudah mengaku kalah.
Sebelum mengakhiri ucapan, YAM Tengku Muhammad turut menitipkan tiga pesanan penting buat para atlet.
“Pertama, bertandinglah dengan berani, hormati lawan tetapi jangan takut. Kedua, jaga disiplin dan integriti kerana menang dengan cara yang betul jauh lebih mulia.
“Ketiga, jangan berhenti berjuang selagi wisel penamat belum dibunyikan kerana peluang sentiasa ada,” kata beliau.
Beliau meminta semua atlet percaya pada diri sendiri, jurulatih, dan rakan sepasukan sambil mengingatkan bahawa seluruh rakyat Pahang sentiasa menyokong mereka. -PAHANGMEDIA

