Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Shahrizar Azdhar
BERA, 28 JULAI 2026 : “Ibarat rumput yang tidak disiram air, apabila disiram ia kembali segar,” demikian luahan penuh syukur seorang pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Encik Harun Sulaiman, 72, selepas menerima Kad Kesihatan Kasih Makmur Edisi Pahlawan yang disifatkannya sebagai bukti keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang terhadap kebajikan golongan pesara.
Pesara yang berasal dari Triang itu berkata, inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan Negeri bukan sahaja membantu meringankan beban kos rawatan kesihatan, malah menjadi tanda penghargaan kepada pesara yang telah menabur bakti kepada negara tanpa mengira pangkat.
“Alhamdulillah, dengan adanya kerajaan hari ini yang memberikan sumbangan kepada kami, kami amat bersyukur.

“Ibarat rumput yang tidak disiram air, apabila disiram ia kembali segar. Saya berasa sangat gembira menerima Kad Kesihatan Kasih Makmur ini kerana ia diberikan secara percuma dan menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap pesara seperti saya yang bukan berpangkat besar,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kad Kesihatan Kasih Makmur Edisi Pahlawan DUN Guai di Pusat Komuniti Kampung Mengkarak, di sini, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Pahang atas usaha Kerajaan Negeri menyediakan kemudahan tersebut kepada pesara PDRM.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang kerana memperuntukkan dana bagi menyediakan kad kesihatan ini secara percuma kepada pesara yang layak,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Encik Madavan Pellay, 67, dari Kerayong berkata, pemberian Kad Kesihatan Kasih Makmur Edisi Pahlawan membuktikan Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan pesara selepas menamatkan perkhidmatan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang dan YAB Menteri Besar Pahang kerana memberikan kemudahan ini kepada pesara supaya kami dapat menjaga kesihatan dengan lebih baik,” katanya.
Menurut beliau, ini merupakan kali pertama beliau menerima Kad Kesihatan Kasih Makmur Edisi Pahlawan dan beliau amat menghargai keprihatinan Kerajaan Negeri yang terus menjaga kebajikan golongan pesara.
“Ini kali pertama saya menerima kad ini, walaupun sebelum ini saya pernah menerima bantuan kesihatan lain. Saya amat bersyukur atas keprihatinan yang diberikan,” katanya. -PAHANGMEDIA

