Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 28 JULAI 2026 : Penduduk yang hadir pada Sesi Town Hall sempena Program Sentuhan Rakyat Makmur (PSRM) 2026 Daerah Raub melahirkan rasa puas hati apabila pelbagai isu dan permasalahan yang dihadapi berjaya disuarakan serta dijawab secara terus oleh kepimpinan Kerajaan Negeri dan ketua-ketua jabatan.
Sesi yang berlangsung di Dewan Semai Bakti Felda Tersang 3, di sini semalam, diadakan bersama YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar.
Turut hadir, YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; Pegawai Daerah Raub, Dato’ Mohd Khuzaidi Harun serta barisan ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri.

Ketua Peneroka Felda Tersang 3, Encik Mohd Zaini Karim berkata, program berkenaan memberi peluang kepada masyarakat menyampaikan sendiri hasrat dan permasalahan kepada pihak bertanggungjawab.
“Saya selaku ketua kampung nampak satu program yang amat baguslah sebab apa? Apa yang tersirat di hati masyarakat setempat dapat diluahkan kepada pihak berwajib.
“Jadi apa yang dijawab oleh pihak-pihak atas dan seperti Dato’ Sri SS (Setiausa Kerajaan Negeri) sendiri, satu kepuasan lah. Satu kepuasan bagi saya, apa yang diberikan jawapan kepada masyarakat setempat,” katanya.

Sementara itu, anak generasi kedua Felda Triang 1, Puan Norissa Razali, 42, berkata beliau berasa lega apabila persoalan yang sekian lama ingin dikemukakan akhirnya mendapat penjelasan secara langsung.
“Program ini sangat bagus kerana dapat mendengar keluh kesah daripada penduduk setempat dan kampung. Ya, saya dapat berjumpa dengan pimpinan atas. Sebelum ini saya tak kenal pun siapa mereka. Ya, saya kenal.
“Saya rasa lega dalam hati saya. Apa yang terbuku dalam hati saya nak bertanya itu, soalan saya itu semua terjawab. Alhamdulillah pihak Dato’ Sri dapat menjawab dengan baik untuk soalan saya ini. Saya sangat puas hati.
“Saya berharap dan harapan saya dapat buat lagi program-program ini di tempat saya, kampung saya ini, setiap tahun pun boleh,” katanya.

Bagi generasi kedua Felda Tersang 3, Encik Sayuti Bakar, 48, program seperti itu perlu diteruskan kerana memberi ruang kepada rakyat bertemu secara bersemuka dengan kepimpinan negeri tanpa perlu melalui saluran yang lebih panjang.
“Jadi untuk program macam ini sebenarnya bagus untuk semua generasi. Terutamanya generasi kedua macam kami lah. Jadi kami berpeluang bertemu bertemu dengan Dato’ Sri, Dato’ dan juga semua CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) yang terlibat dalam program ini.
“Bagi saya, program-program ini harus diteruskan dari masa ke masa untuk semua tempat-tempat yang lain. Tak perlu kita menghantar surat kepada pucuk pimpinan di atas, (sebaliknya) pucuk pimpinan di atas turun ke bawah bertemu bersama rakyat,” katanya. -PAHANGMEDIA

