Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 27 JULAI 2026 : Perasaan sebak dan terharu jelas terpancar pada wajah seorang warga emas menghidap strok apabila kediamannya dikunjungi pimpinan Kerajaan Negeri Pahang sempena Program Ziarah Makmur sempena Program Sentuhan Rakyat Makmur (PSRM) Daerah Raub di Felda Tersang 3, di sini hari ini.
Program berkenaan diketuai oleh YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Raub, YH. Dato’ Mohd Khuzaidi Harun; Pengarah Unit Perancangan Operasi dan Strategik, Pejabat Menteri Besar Pahang, YH. Dato’ Wan Salman Wan Ismail serta ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri.

Warga emas terbabit, Encik Mohd Tamizi Juri, 68, berkata, kunjungan sempena PSRM berkenaan sekali gus membolehkan permohonannya untuk memiliki sebuah kerusi roda elektronik dapat disalurkan secara terus.
“Sangat gembira lah. (Segala pemasalahan) dapat diselesaikan. Saya ucapkan terima kasih Kerajaan Negeri Terima kasih banyak-banyak, Kerajaan Negeri Pahang semua.. memang terharulah.. banyak-banyak terima kasihlah semua… terbela lah.. memang saya tak sangkalah mereka datang, dan memilih saya,” katanya dengan nada sebak.
Bercerita lanjut, Encik Mohd Tarmizi berkata, dia mula menghidap penyakit strok pada 2017 bermula dengan simptom ringan sebelum keadaannya bertambah serius sehingga menjejaskan pergerakan.
Turut menerima kunjungan ialah keluarga Encik Khairul Azraf Zakaria, 45, dan isterinya, Puan Nor Baizura Sunsudin, 39, yang menjaga anak bongsu mereka, Firdaus Adha berusia setahun sebulan yang menghidap Hidrosefalus sejak dalam kandungan.

Encik Khairul Azraf berkata, lawatan tersebut membuka ruang kepada keluarganya untuk mengetahui saluran bantuan yang boleh dimanfaatkan.
“Kalau bila lawatan ini macam kita orang rasa, terbuka lah, kita macam tahu apa yang boleh kita buat, yang kita boleh dapat bantuan, di mana saluran.
“Sebelum ini macam kita tak tahu kat mana kita nak pergi, saluran itu, saluran ini, apa-apa yang patut yang kita buat.
“Bila dah tahu ini, Alhamdulillah lah. Sebab Pahang ini, orang kata banyak kemudahan, banyak dia punya manfaat bagi untuk rakyat dia, untuk negeri Pahang,” katanya.
Encik Khairul Azraf turut merakamkan rasa berbesar hari kepasa YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail kerana mencetuskan program PSRM sekali gus menyantuni rakyat di peringkat akar umbi.
“Kita rasa macam, walaupun kita duduk jauh dengan MB kita, tetapi beliau ada dekat dengan kita. Beliau sentiasa menolong kita. Alhamdulillah,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang lagi penerima, Puan Aminah Zakaria, 75, yang menjaga suaminya, Encik Kamaludin Haji Kadir, 73, sejak diserang strok pada tahun 2010, turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Kerajaan Negeri.
“Gembira jugalah. alhamdulillah lah bagus lah ada menolong orang yang kurang upaya macam pakcik, itu je lah. Terima kasih lah pada pihak yang beri bantuan kepada makcik… Kerajaan Negeri,” katanya. -PAHANGMEDIA

