Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
RAUB, 28 JULAI 2026 : Penganjuran MAHA Pahang 2026 di Dataran Raub yang berakhir Ahad lalu memberi peluang kepada penduduk kampung dan masyarakat luar bandar menjejakkan kaki ke pesta pertanian itu buat kali pertama tanpa perlu ke lokasi penganjuran yang lebih jauh seperti di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor.
Rata-rata pengunjung yang ditemui menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri menganjurkan MAHA Pahang di daerah sekali gus membolehkan lebih ramai rakyat merasai sendiri kemeriahan MAHA selain mendapatkan pelbagai produk pertanian, makanan dan tanaman yang ditawarkan.
Penduduk Kampung Kuala Gali, Puan Ramlah Abu Bakar, 51, berkata, beliau tidak pernah berpeluang mengunjungi MAHA di Serdang sebelum ini, namun penganjuran di Raub akhirnya membolehkan beliau merasai sendiri suasana pesta berkenaan.

“(Di MAEPS, Serdang, Selangor) pun tak pernah pergi, inilah kali pertama. Itu cakap pada suami saya nak singgah sekejap tengok.
“Memang bagus lah Kerajaan Negeri buat di daerah ini sebab bukan semua orang boleh keluar, bila dah ada dekat sini, orang sini boleh berkesempatan tengok,” katanya.
Bagaimanapun hasrat Puan Ramlah untuk membeli pokok tanaman bagaimanapun tidak kesampaian apabila kebanyakan stok telah habis dijual pada hari terakhir penganjuran berikutan sambutan yang amat menggalakkan selama empat hari penganjuran MAHA Pahang 2026.

Bagi Encik Mohd. Sakri Mohd. Yusof, 60, dari Pekan, beliau sanggup menaiki bas bersama penduduk taman perumahannya semata-mata mahu mengunjungi MAHA Pahang buat kali pertama.
“Kami memang rancang nak datang. Saja nak tengok-tengok. Nak beli pokok, tapi banyak dah habis. Pergi hari akhir, sampai pukul 1 lebih, memang tak sangka ramai orang. Tahun depan InsyaAllah kalau ada peluang saya pergi lagi,” katanya.

Sementara itu, Encik Muhammad Asyraf Abd. Rahman, 25, berkata, kepelbagaian vendor dari dalam dan luar daerah menjadi antara tarikan utama yang mendorongnya berkunjung ke MAHA Pahang.
“Banyak jual barang-barang, meriah ramai orang. Walaupun hari terakhir pun masih ramai orang. Tahun depan InsyaAllah saya datang kalau ada peluang,” katanya. -PAHANGMEDIA

