RAUB, 20 JUN 2026 : Pada usia 27 tahun, ketika ramai anak muda seusianya sedang mengejar cita-cita dan membina masa depan, Nurul Jannatul Syazwani Mohamad dari Kampung Gali Hilir di sini pula diuji dengan penyakit kanser payudara tahap empat yang mengubah seluruh perjalanan hidupnya.
Sejak setahun lalu, beliau tabah menjalani pelbagai rawatan bagi melawan penyakit tersebut dan kini bakal meneruskan rawatan susulan di China yang dianggarkan menelan kos kira-kira RM85,000.
Di sebalik ujian yang berat itu, keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang terus dizahirkan apabila Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal menziarahi Nurul Jannatul Syazwani buat kali kedua bagi melihat sendiri perkembangan kesihatannya.

Dalam ziarah tersebut, ADUN Dong itu turut menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri Pahang berjumlah RM10,000 bagi membantu menampung kos rawatan yang diperlukan.
Menurut YB Tuan Fadzli, sumbangan itu merupakan bukti keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang dalam membantu rakyat yang berdepan ujian kesihatan dan kesukaran hidup.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail atas kelulusan sumbangan berkenaan.
“Kita berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh Nurul Jannatul Syazwani dan keluarganya dalam usaha mendapatkan rawatan terbaik.
“Saya menyeru kepada sahabat handai, kenalan dan orang ramai yang berkemampuan untuk turut membantu meringankan beban Syazwani, ” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun milik beliau 556244123308 (
Maybank) Nurul Jannatul Syazwani binti Mohamad. – PAHANGMEDIA

