Oleh : Syafiqah Jamaluddin
RAUB, 20 JUN 2026 : Kerajaan Negeri Pahang akan terus memberikan sokongan bagi memastikan acara pelancongan bertaraf antarabangsa terus berkembang, sekali gus memperkukuhkan kedudukan negeri ini sebagai destinasi ekopelancongan utama negara.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man berkata, penganjuran Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser Kali Ke-37 bukan sahaja mempromosikan Bukit Fraser sebagai destinasi pemerhatian burung bertaraf antarabangsa, malah turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat melalui peningkatan kehadiran pelancong.

“Hotel, resort, restoran dan peniaga tempatan turut menerima manfaat daripada penganjuran acara ini yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Majlis Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser Kali Ke-37, di sini hari ini
Menurut beliau, pertandingan itu menerima penyertaan daripada pelbagai negara termasuk Australia, China, India, Indonesia, Jepun, Nepal, New Zealand, Filipina, Singapura, Sri Lanka dan Taiwan, selain peserta dari seluruh negara.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut memberi penekanan terhadap aspek pendidikan dan pemuliharaan alam sekitar menerusi kerjasama dengan Malaysian Nature Society (MNS) melalui penganjuran Kem Biodiversiti yang melibatkan pelajar sekolah dari seluruh negara.

Tambah beliau, kejayaan acara tersebut adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai agensi yang menyediakan sokongan teknikal serta kepakaran.
“Kerajaan Negeri Pahang akan terus memberikan perhatian dan sokongan yang sewajarnya bagi memastikan acara pelancongan seperti ini dapat diteruskan serta diperkasakan pada masa hadapan,” katanya.
Penganjuran program ini bukan sahaja menyumbang kepada usaha pemuliharaan biodiversiti, malah memperkukuhkan lagi kedudukan Pahang sebagai destinasi ekopelancongan utama negara selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.- PAHANGMEDIA

