Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 19 JUN 2026: “Saya rasa sangat bersyukur dilahirkan di Pahang sebab Pahang menitikberatkan tentang huffaz,” kongsi Afifah Sufiyyah Mohd Fadli, 19, pelajar Diploma Maahad Tahfiz Negeri Pahang.
Menurutnya, Program Himpunan Huffaz Negeri Pahang menggalakkan anak-anak tahfiz terus berkembang dan mampu menguasai pelbagai bidang selain menghafal al-Quran.

“Program sebegini sebenarnya lebih menggalakkan anak-anak muda, terutama seperti kami, untuk terus berkembang. Maksudnya, ramai orang fikir hafiz al-Quran ini hanya sampai di situ sahaja, tapi sebenarnya kita boleh jadi jurutera, doktor.
“… dan untuk membuka peluang kepada hafiz dan hafizah ini menjadi pemimpin negara. Orang-orang macam inilah yang perlu menguasai bidang-bidang supaya dapat sentiasa menjaga Pahang,” katanya.
Tambahnya, program tersebut wajar diteruskan pada masa hadapan kerana ia dilihat mampu memberi manfaat besar kepada pelajar tahfiz di negeri ini.
“Sebagai salah seorang peserta, saya rasa program ini sangat patut diteruskan sampai bila-bila. Nak dapat peluang seperti ini di negeri lain agak susah dan saya sangat bersyukur dapat seorang Menteri Besar Pahang (Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail) yang sangat prihatin terhadap warga Pahang.
“Terima kasih Kerajaan Negeri Pahang kerana mewujudkan program Huffaz ini sebab ia sangat membuka peluang kepada kami para huffaz,” katanya.

Di samping itu, Naufal Karami Mubarak Akhtar Abdul Warith, 19, pelajar Madrasah An-Nabawiyyah Lid Dirasatil Islamiyyah berkata program tersebut mampu memberi semangat kepada pelajar tahfiz untuk meningkatkan pencapaian diri.
“Bagi saya, program ini dapat memberi lebih semangat kepada kami pelajar-pelajar tahfiz dan program ini sangat menarik. Program ini juga hanya dijalankan di Pahang sahaja dan tidak ada di tempat lain,” katanya.
Program Himpunan Huffaz Negeri Pahang 2026 merupakan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam memartabtkan al-Quran serta melahirkan huffaz sebagai pemimpin masa depan negara. -PAHANGMEDIA

