Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 15 MEI 2026 : Nasi lemak berharga RM1.50 dari Kampung Bukit Sekilau mencuri perhatian apabila menjadi menu sarapan pada hari terakhir Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, hari ini.
Hidangan tersebut yang dibawa khas oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, menerima reaksi positif daripada para wakil rakyat yang hadir, selain dianggap masih berbaloi dengan harga yang ditawarkan walaupun dalam keadaan kos sara hidup semasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin berkata, kewujudan nasi lemak pada harga RM1.50 membuktikan masih ada peniaga yang mampu menawarkan makanan pada kadar berpatutan kepada rakyat.
“Nasi lemak ini sedap, memang sedap dan portion dia pun banyak. Maksudnya berbaloi untuk sarapan. Yang penting masih ada nasi lemak RM1.50.

“Tengok tempat, tengok portion. Kalau nasi lemak ayam sudah tentu harganya RM4 atau RM5,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, YB Tengku Zulpuri Shah Raja Puji turut menyifatkan hidangan tersebut sebagai enak dan mengimbau rasa nasi lemak tradisional.
“Nasi lemak ini sedap, rasa macam orang dulu-dulu buat dan saiz dia besar. Untuk harga RM1.50 pun okay, kita boleh terima.
“Dalam nasi lemak ini ada ikan bilis, telur rebus dan nasi dia pun banyak. Saya rasa tak rugi kalau orang makan,” katanya.
Suasana turut bertambah ceria apabila beberapa ADUN lain berkongsi pengalaman nikmati nasi lemak tersebut dan turut menyatakan bahawa masih ada peniaga di kawasan kampung menjual pada harga mampu milik. -PAHANGMEDIA

