Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 15 MEI 2026 : Negeri Pahang mencatat pencapaian membanggakan apabila mencapai kadar liputan bekalan air luar bandar sebanyak 98 peratus berdasarkan laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian ini disifatkan amat signifikan memandangkan keluasan negeri Pahang serta bentuk muka bumi yang mencabar, yang menyukarkan pelaksanaan infrastruktur bekalan air secara menyeluruh di kawasan pedalaman.
“Malah, sehingga kini tiada negeri di Malaysia yang mencapai liputan 100 peratus sepenuhnya. Antara negeri lain yang mencatat kadar liputan bekalan air luar bandar ialah Kedah sebanyak 96.5 peratus, Terengganu 92.9 peratus, Kelantan 81.9 peratus, Perak 99 peratus, manakala Selangor mencatat 99.5 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Katanya, Kerajaan Negeri Pahang menegaskan bahawa pencapaian 98 peratus ini membuktikan komitmen berterusan dalam memastikan rakyat mendapat akses bekalan air yang lebih baik, termasuk di kawasan luar bandar.
“Dalam masa sama, isu berkaitan bekalan air luar bandar dan kawasan Orang Asli yang dibangkitkan oleh beberapa Ahli Yang Berhormat di kawasan Sabai, Ketari, Tahan dan Chenor turut berada dalam perhatian kerajaan negeri.
“Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dan kemudahan bekalan air di kawasan Orang Asli berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), manakala PAIP bertindak sebagai operator selepas projek disiapkan dan diserahkan.
“Inilah yang kadangkala kurang difahami apabila semua isu berkaitan bekalan air terus diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab PAIP sedangkan terdapat pembahagian bidang kuasa yang jelas.
“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri tidak pernah mengambil sikap lepas tangan. Kita sentiasa memberi kerjasama kepada KKDW dan JAKOA serta memantau supaya projek-projek berkaitan dapat dipercepatkan,” katanya. -PAHANGMEDIA

