Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 15 MEI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), YB. Datuk Seri Arthur Joseph Kurup minggu depan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pertemuan itu antara lain bertujuan mendapatkan pandangan serta membincangkan hala tuju pembangunan negeri Pahang khususnya berkaitan aspek kelestarian alam.
Katanya, ia juga merupakan salah satu siri kunjung hormat dan pertemuan dengan Menteri Kerajaan Persekutuan bagi membincangkan pelbagai agenda pembangunan negeri ini.
“Saya akan mengadakan siri kunjung hormat kepada menteri-menteri. Saya dah jumpa Menteri KKR (Kementerian Kerja Raya), Menteri KKDW (Kemajuan Desa dan Wilayah) dan juga timbalan menteri, dan minggu depan saya akan berjumpa dengan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), YB. Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
“Dan perjumpaan itu… adalah beberapa perkara kita bincang, minta pandangan dan hala tuju kita di negeri Pahang ini terutama berhubung dengan kelestarian alam,” katanya ketika ditemui dalam sidang media selepas sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambahnya, siri pertemuan bersama Menteri Kerajaan Persekutuan itu juga merupakan agenda berterusan Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa.
“Selepas NRES kemungkinan saya akan berjumpa dengan Menteri Kesihatan,” katanya lagi.
Mengulas isu eksport pasir, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri perlu melihat perkara itu daripada pelbagai sudut termasuk aspek ekonomi dan keselamatan.
“Kita kena seimbangkan antara ekonomi dengan keselamatan, tetapi prioriti kita adalah keselamatan. Safety first,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan terdapat lambakan pasir atau stockpile bernilai kira-kira RM500 juta yang akan dibincangkan bersama pihak NRES dalam pertemuan akan datang.
Mengulas tentang persidangan Dewan Negeri kali ini, beliau merakamkan penghargaan kepada YB. Speaker dan YB. Timbalan Dewan Negeri Pahang kerana berjaya mengendalikan persidangan dewan dengan teratur dan harmoni.
Beliau turut menghargai peranan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dan pembangkang yang membahaskan Usul Titah Diraja serta mengemukakan soalan berkaitan kepentingan rakyat dan hala tuju negeri.
Pada masa sama, beliau menyifatkan cadangan YB. Speaker Dewan Negeri Pahang supaya tiada sesi rehat rasmi sepanjang persidangan sebagai langkah bijak bagi menjimatkan masa dan memastikan semua pembahas mempunyai ruang mencukupi untuk mengambil bahagian dalam perbahasan. -PAHANGMEDIA

