Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2026 : Seramai 111 penerima menerima cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang melibatkan peruntukan kira-kira RM1.6 juta dalam satu majlis penyerahan di lobi Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini hari ini.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penyaluran bantuan itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian.
Katanya, Kerajaan Negeri menyalurkan pelbagai bentuk bantuan dan insentif kepada rakyat bagi membantu golongan yang memerlukan serta merancakkan pembangunan negeri.

“Peruntukan RM1.6 juta ini bukan satu jumlah yang kecil dan penyalurannya tidak berlaku begitu sahaja, sebaliknya memerlukan komitmen, usaha serta pengurusan kewangan yang baik dan kedudukan kewangan negeri yang stabil,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; ketua jabatan dan barisan pimpinan setempat.
YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, pemberian bantuan berkenaan hanya sebahagian kecil daripada pelbagai inisiatif kerajaan negeri yang turut merangkumi bidang pendidikan, kebajikan, ekonomi dan pembangunan infrastruktur.

Tambahnya, Pahang kini berada pada landasan pembangunan yang tepat apabila berjaya menduduki kedudukan keempat dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus mencerminkan perkembangan ekonomi negeri yang semakin positif.
Sehubungan itu, beliau berharap kestabilan politik serta sokongan rakyat terhadap Kerajaan Negeri dapat diteruskan bagi membolehkan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan dan pembangunan ekonomi dipertingkat demi manfaat generasi akan datang.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua penerima supaya menggunakan bantuan yang disalurkan mengikut tujuan permohonan kerana setiap perbelanjaan melibatkan wang kerajaan tertakluk kepada pemantauan audit dan tindakan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).-PAHANGMEDIA

