Oleh : Ain Nadhirah Basha & Ummul Qistina Sofea
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 08 MEI 2026 : Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar Kerajaan Persekutuan memberi kuasa dan ruang yang lebih kepada Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan projek.
Baginda bertitah agar Kerajaan Persekutuan untuk memberi keutamaan kepada syarikat serta kontraktor dari Negeri Pahang dalam pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini.
“Dalam pada itu, saya juga mahu Kerajaan Pusat memberikan kuasa dan ruang yang lebih kepada Kerajaan Negeri apabila melaksanakan satu-satu projek.
“Utamakan syarikat-syarikat atau kontraktor yang berasal dari Negeri Pahang. Saya mahu peluang seperti ini diberikan kepada anak-anak Negeri Pahang untuk melaksanakan projek-projek.
“Memang benar pelantikan kontraktor G7 boleh dibuat kepada mana-mana dari seluruh Malaysia. Tetapi, saya mahu keutamaan itu diberikan kepada syarikat dari Negeri Pahang yang sememangnya diakui berkelayakan dan kompeten,” titah baginda.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang turut menegaskan supaya Kerajaan Pusat meneliti perkara ini dan mengembalikan semula hak negeri ini.
“Sekali lagi, saya tegaskan bahawa Kerajaan Pusat semestinya teliti semula perkara ini, hak Negeri Pahang sepatutnya dikembalikan semula kepada Negeri Pahang. Janganlah satu hari nanti Negeri Pahang mengambil tindakan terhadap Kerajaan Persekutuan.
“Saya mohon Yang Berhormat Penasihat Undang-undang Negeri untuk kaji dengan teliti apa tindakan yang boleh kita ambil ke atas Kerajaan Persekutuan untuk perkara ini,” titah baginda.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

