BENTONG, 7 MEI 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat ke persembahan taklimat berkenaan Projek Pembangunan Lapangan Angkasa Antarabangsa Pahang (PINTAS), hari ini.

Keberangkatan Paduka Baginda pada pukul 11 pagi disambut YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohd Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Dr Haji Mohammad Yusof Apdal.

Paduka Baginda berkenan mendengar taklimat persembahan maklumbalas agensi kerajaan berkenaan laporan kajian kebolehlaksanaan bagi Projek Pembangunan Lapangan Angkasa Antarabangsa Pahang (PINTAS) di Pekan.
Paduka Baginda di dalam titah menzahirkan harapan agar setiap kajian yang dilakukan dapat memberi kesan positif terhadap segala usaha dalam merealisasikan projek berkenaan serta memberi manfaat terbaik dalam jangka masa panjang untuk rakyat dan negeri Pahang.-PAHANGMEDIA
Sumber-KESULTANAN PAHANG

