Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Radin Mohd Norhafizan
BENTONG, 07 MEI 2026 : Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2026 yang memasuki tahun kedua penganjurannya bukan sahaja dapat mengukur tahap perkembangan sukan golf di negeri ini malah dapat merancakkan industri pelancongan Pahang.
Menurut Pengerusi Kejohanan Piala Sultan Pahang 2026, YB. Dato’ Sri Shafik Fauzan Sharif, ia juga selari dengan hasrat Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah untuk melihat padang golf di negeri ini berada pada tahap terbaik.
“Dan sesungguhnya Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang melihat serius tentang perkembangan golf sport di Negeri Pahang. Bukan sahaja untuk development pemain-pemain tetapi juga lapangan golf itu perlu diuruskan selenggara dengan baik. Itu antara hasrat Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.

“Selain daripada itu juga sukan ini ada tourism element di mana sektor pelancongan boleh dikembangkan lagi, dimajukan, contohnya makanan dan juga melibatkan industri perhotelan dari booking dan sebagainya,” katanya.
Tambah beliau kejohanan yang dianjurkan di bawah naungan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah ini bakal dilancarkan secara rasmi pada Jun depan dan bakal menyaksikan 100 peserta beraksi di empat lokasi kejohanan.
“Pada tahun lepas kita ada empat venue juga dan tahun ini pun empat venue. Cuma kita menggantikan satu venue yang baru iaitu Resort World Awana (RWA) yang merupakan venue grand finale pada 5 September nanti.

“Kejohanan kali ini dengan kerjasama Majlis Sukan Pahang ini akan dimulakan di Villea Rompin Golf Resorts, Rompin (27 Jun), kemudian turun ke Pekan di Royal Pekan Golf Club (25 Julai), kemudian yang ketiga di Royal Pahang Golf Club di Kuantan (29 Ogos), dan berakhir di Resort World Awana.
“Kalau 200 (peserta) pun kita boleh buat juga tapi maknanya sampai malam jadi manageable time tu up to 100 (peserta) atau lebih sikit pun dah okay. Tapi kalau lebih sangat, pukul 2 tak siap lagi, nak scoring, nak ada ceremonial things jadi ideal bagi kita 100 peserta sahaja,” katanya.
Kejohanan ini menawarkan hadiah, piala, dan barangan lebih RM150,000, termasuk Piala Cabaran Sultan Pahang melibatkan kategori Terbaik (Gross), Terbaik Medal A & B (Nett) dan Wanita.
Majlis prapelancaran kejohanan disempurnakan oleh YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Resorts World Awana Genting hari ini. -PAHANGMEDIA

