Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 08 MEI 2026 : Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar Kerajaan Pusat memberi keutamaan kepada Negeri Pahang berdasarkan keseimbangan alam yang dikekalkan.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang turut menzahirkan keprihatinan berkenaan keadilan undang-undang yang dilihat tidak berpihak kepada negeri ini.
“Di sini saya juga mahu Kerajaan Persekutuan cakna akan titah saya. Saya ingin menzahirkan prihatin saya tentang keadilan undang-undang Persekutuan yang tidak berpihak pada hak-hak negeri saya.
“Pahang merupakan antara empat negeri yang terawal membentuk negeri-negeri Melayu Bersekutu. Hasil negeri-negeri bersekutu ketika itu disatukan dan disalurkan kembali mengikut kesesuaian keempat-empat buah negeri. Dan negeri-negeri bersekutu inilah juga yang menjadi asas kepada pembentukan Malaysia.
“Saya berharap Kerajaan Pusat turut memberikan keutamaan kepada Negeri Pahang kerana pengorbanan besar Negeri Pahang untuk mengekalkan keluasan hutan yang luas, alam flora dan fauna serta gunung-ganang yang menjadi tunjang kestabilan ekosistem, kawasan tadahan hujan, dan biodiversiti di semenanjung Malaysia,” titah baginda.
Titah baginda lagi, pengorbanan Negeri Pahang ini tidak boleh diukur melalui jumlah sumbangan cukai kepada Kerajaan Persekutuan namun perlu dilihat daripada keseimbangan alam sekitar yang dibekalkan.
“Pengorbanan Negeri Pahang ini tidak boleh sama sekali diukur dengan nilai sumbangan cukai kepada Persekutuan tetapi cukup signifikan dari segi keseimbangan alam sekitar khususnya di semenajung Malaysia.
“Kerajaan Pusat seharusnya tidak menafikan pengorbanan Negeri Pahang ini dan lebih mengutamakan Negeri Pahang yang merupakan negeri yang terbesar di semenanjung Malaysia,” titah baginda.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah demikian ketika Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

