Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
ROMPIN, 27 APRIL 2026 : Kerajaan Negeri Pahang akan terus mempergiat usaha membina lebih banyak rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat yang semakin meningkat, kata YAB. Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Katanya, pelaksanaan pelbagai inisiatif perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri.

“Ini adalah salah usaha Kerajaan Negeri kerana kita tahu ramai rakyat Pahang yang ingin memiliki rumah. Salah satunya ialah PR1MA Pahang, selain daripada Rumah Makmur, Rumah Ru’Rasa, Rumah Rakyat Pahang dan juga sedikit daripada kerajaan Persekutuan pun ada juga. Itu pun masih belum mencukupi.
“Jadi kita akan teruskan mempergiatkan usaha untuk membuat rumah, membina rumah untuk diberikan kepada rakyat di negeri Pahang” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Pinggiran Pelangi serta Majlis Pelancaran PR1MA Pahang Muadzam Shah di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Arif; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam serta ketua jabatan dan pimpinan setempat.
Dalam pada itu, seramai 102 penerima menerima kunci rumah PR1MA Pinggiran Pelangi yang dibina di atas tanah kerajaan seluas 60 ekar dengan harga RM150,000 seunit.

YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, harga tersebut disifatkan benar-benar mampu milik, malah penjawat awam turut menikmati diskaun sebanyak 10 peratus.
“Dan rumah ini saya ucapkan tahniah kepada pemaju kerana dapat menyiapkannya mengikut jadual. Kualitinya cantik… dari segi dalaman rumah dan rata-rata penerima rumah menyatakan bahawa mereka berpuas hati dengan kerja-kerja yang dibuat ya,” ujarnya.
Projek yang memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada 19 Mac lalu itu melibatkan keseluruhan 412 unit rumah bernilai RM61.8 juta yang dibangunkan secara empat fasa.

Beliau turut memaklumkan lebih banyak projek perumahan sedang dalam pembinaan di seluruh negeri, namun masih belum memperoleh CCC sebelum boleh diserahkan kepada pembeli.
“Ya, ini adalah program yang berterusan. Sebenarnya masih banyak yang dalam pembinaan ya. Tetapi belum dapat sijil menduduki ataupun CCC. Selepas ini di Muadzam Shah juga, ada lagi satu yang saya akan datang insyaAllah untuk bagi kunci,” katanya lagi.
Sementara itu, projek PR1MA Muadzam Shah yang baharu dilancarkan melibatkan pembangunan di atas tanah kerajaan seluas 50 ekar merangkumi perumahan dan pembangunan bercampur di mana sehingga Mac 2026, projek tersebut kini berada pada peringkat pembersihan tapak, kerja tanah serta pembinaan struktur rumah.-PAHANGMEDIA

