Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 16 APRIL 2026 : Negeri Pahang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai nadi penting ekonomi negara apabila sektor pertanian negeri ini menjana pendapatan keseluruhan sebanyak RM27.12 bilion pada tahun 2023.
Dapatan itu berdasarkan Laporan Banci Pertanian 2024 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), yang memperkenalkan parameter baharu merangkumi aspek pendapatan, perbelanjaan serta gaji dan upah dalam sektor berkenaan.
Laporan tersebut turut memperincikan struktur sektor pertanian termasuk pegangan pertanian, keluasan bertanam dan bertuai, kuantiti pengeluaran, nilai jualan serta guna tenaga yang menjadi pemacu utama ekonomi negeri.
Banci yang dilaksanakan dari 7 Julai hingga 31 Oktober 2024 itu melibatkan kerjasama strategik 1,390 agensi di peringkat persekutuan, negeri dan daerah, sekali gus mencerminkan komitmen menyeluruh dalam memperkukuh sektor pertanian negara.
Sebanyak 89,899 pegangan pertanian direkodkan di Pahang dengan majoritinya iaitu 97.2 peratus diusahakan oleh individu, manakala selebihnya diuruskan oleh pertubuhan.
Dari segi keluasan, negeri ini mencatatkan 983,100 hektar kawasan bertanam dengan tanaman kelapa sawit mendominasi sebanyak 819,800 hektar, diikuti getah dan sayur-sayuran yang menyumbang sebahagian besar aktiviti pertanian.

Subsektor tanaman kekal sebagai penyumbang utama ekonomi pertanian negeri dengan nilai jualan mencecah RM21.78 bilion, diikuti ternakan RM1.21 bilion serta perikanan tangkapan dan akuakultur yang masing-masing menyumbang ratusan juta ringgit.
Pendapatan sektor pertanian Pahang pada tahun 2023 adalah RM27.12 bilion, dengan subsektor tanaman muncul sebagai penyumbang terbesar iaitu RM24.05 bilion atau 88.7 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan.
Daerah Rompin, Cameron Highlands dan Kuantan muncul sebagai penyumbang tertinggi pendapatan sektor ini dengan masing-masing merekodkan RM4.83 bilion, RM4.64 bilion dan RM2.86 bilion.
Dari segi perbelanjaan pula, sektor pertanian negeri mencatatkan jumlah keseluruhan RM8.96 bilion dengan subsektor tanaman menyumbang peratusan terbesar iaitu 82.3 peratus (RM7.38 bilion) dengan Cameron Highlands mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu RM1.60 bilion diikuti Rompin (RM1.33 bilion) dan Raub (RM0.71 bilion).
Sektor ini turut menyediakan peluang pekerjaan kepada 193,216 tenaga kerja dengan subsektor tanaman menyumbang hampir 79.4 peratus atau 153,453 orang di mana daerah Rompin, Kuantan dan Pekan dikenal pasti sebagai tiga penyumbang utama guna tenaga, merangkumi keseluruhan 37.6 peratus daripada jumlah tersebut.
Secara keseluruhannya, sektor pertanian terus memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan ekonomi Negeri Pahang di mana keupayaan sektor ini dalam menjana pengeluaran, pendapatan serta peluang pekerjaan menunjukkan kepentingannya bukan sahaja kepada ekonomi negeri, malah turut menyumbang kepada pengukuhan sektor pertanian di peringkat nasional. -PAHANGMEDIA

