Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
ROMPIN, 16 APRIL 2026 : Program dan pertandingan inovasi dapat menjadi platform awal menguji kreativiti serta ketahanan mental para pelajar di negeri ini yang merupakan bakal pemain industri pada masa hadapan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, ia juga memperkukuhkan budaya inovasi serta penyelidikan dalam kalangan pelajar dan pensyarah.
“Program Innovation and Invention Competition (ICOVEX 2026) bukan sekadar platform pertandingan, tetapi merupakan bukti kepada kebolehan generasi muda dalam menterjemah idea kepada penyelesaian yang praktikal, serta menjadikan visi akademik sebagai realiti yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat dan industri.

“Program seperti iCOVEx adalah latihan awal kepada daya tahan mental dan kreativiti strategik yang diperlukan oleh pemain industri masa hadapan. Penganjuran majlis ini menunjukkan keprihatinan dan kesungguhan pihak politeknik dalam memperkukuh budaya inovasi serta penyelidikan dalam kalangan pelajar dan pensyarah.
“Setiap reka bentuk, prototaip serta inovasi digital yang diketengahkan bukan sahaja mencerminkan keupayaan teknikal yang tinggi, malah memperlihatkan kematangan pemikiran pelajar dalam merangka penyelesaian terhadap cabaran sebenar merangkumi pelbagai aspek,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Program Pertandingan Innovation and Invention Competition (ICOVEX 2026) Sesi 2: 2025/2026 di Dewan Sri Gading, Politeknik Muadzam Shah.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti (JPPKK) Politeknik Muadzam Shah, Tuan Haji Ulaimi Yahya.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang turut mementingkan kerjasama strategik diantara pihak akademik dan industri bagi memastikan ekosistem modal insan negara kekal mampan, berdaya tahan dan kompetitif di peringkat global.
“Di sinilah letaknya kepentingan program seperti ICOVEX. Program ini bukan sekadar pentas pertandingan, tetapi merupakan inkubator idea, medan pembinaan bakat dan jambatan antara akademia dan industri. Ia melahirkan generasi yang bukan hanya pengguna teknologi, tetapi pencipta kepada penyelesaian masa hadapan.
“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan hala tuju pembangunan negeri Pahang, pendidikan TVET perlu terus diperkasa sebagai pemangkin kepada ekonomi berasaskan inovasi.
“Saya ingin menegaskan komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam menyokong pembangunan ekosistem inovasi yang inklusif dan mampan. Inisiatif seperti program ICOVEX ini akan terus disokong kerana ia berperanan sebagai platform penting dalam mencungkil bakat, memperkasa idea serta membuka ruang kepada penghasilan inovasi yang berimpak tinggi,” katanya. -PAHANGMEDIA

