Oleh : Norhafizan Zulkifli & Ummul Qistina Sofea
KUANTAN, 16 APRIL 2026 : Sesi Town Hall sempena Program Sentuhan Rakyat Makmur (PSRM) 2026 Daerah Kuantan yang berlangsung di Dewan Permata Camar, Kampung Sri Cempaka, di sini hari ini disifatkan sebagai platform komunikasi dua hala berkesan antara Kerajaan Negeri dan rakyat.
Penduduk yang hadir menyifatkan sesi bersama YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar serta ketua-ketua jabatan terlibat itu sebagai medium penting dalam menyampaikan suara rakyat selain mendapatkan maklum balas segera daripada pihak berkuasa.
Penduduk Kampung Sri Cempaka, Puan Latifah Abdul Wahab, 39, berkata, sesi town hall berkenaan membuka ruang kepada rakyat untuk menyuarakan masalah secara terus kepada pihak berkaitan sekali gus mendapatkan jawapan yang sedikit sebanyak memberi kelegaan buat penduduk.

“Itu yang saya program hari ini sangat baiklah kerana kita boleh dapat meluah segala masalah ‘direct’ terus kepada agensi-agensilah, kepada jabatan-jabatan yang tertentu.
“Dan jawapan yang diberi pun alhamdulillah… dapat diberi keputusan yang serta-merta dan memberi kelegaan kepada penduduk kampung,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Sesi terbabit turut disertai YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; Datuk Bandar Kuantan, YH Dato’ Zaliza bin Zulkipli; serta barisan ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri.
Katanya, program tersebut juga memberi banyak manfaat kepada penduduk kampung khususnya dalam memahami fungsi agensi kerajaan.
“Program ini sangat bermaknalah bagi penduduk kampung dan sekitarnya. Dan banyak lagi benda berkaitan yang kita tak tahu, banyak agensi-agensi yang kita dapat tahu dan orang kampung pun seronoklah macam-macam aktiviti yang ada. Saya rasa akan datang boleh selalu kerap buat program macam ini,” ujarnya.

Bagi Pengerusi JPKK Kampung Tanjung Lumpur, Encik Zamzul Azri Karim pula, beliau menyifatkan program tersebut sebagai berjaya mencapai matlamat dalam mendekatkan kerajaan dengan rakyat.
“Jadi program PSRM hari ini sangat berjaya. Alhamdulillah. Saya mengucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang, Tok Wan (Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail). Maknanya program hari ini memang capai targetlah. Dan saya harap setiap tahun ada program-program macam ini untuk dekati rakyat,” katanya.
Tambahnya, kehadiran ketua-ketua jabatan membolehkan setiap persoalan dijawab secara terus tanpa perlu melalui proses yang panjang.
“Program macam ini, maknanya soalan-soalan yang dikemukakan ‘direct’ kepada ketua-ketua jabatan dijawab terus ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri Pahang. Saya harap jabatan-jabatan yang dikemukan soalan itu, permasalahan-permasalahan yang dikemukakan itu dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya lagi.

Bagi seorang lagi penduduk, Puan Norizati Mohd Nordin, 30, program tersebut memudahkan rakyat membuat aduan selain memberi peluang bertemu pemimpin negeri secara lebih dekat.
“Bagus sebab kita boleh dapat buat aduan terus, lepas tu dapat tahu jawapan terus. Bagi saya memang bagus sangatlah. Hari ini boleh kenal ramai (pemimpin atasan Kerajaan Negeri). Kalau boleh, seeloknya dijalankan lagilah,” katanya. -PAHANGMEDIA

